Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Fenomena gerhana matahari separa dijangka berlaku di Negara Brunei Darussalam pada 20 April ini bermula pukul 11:06 pagi hingga 1:42 petang.
Umat Islam disunatkan untuk menunaikan sembahyang sunat Gerhana Matahari jika sabit berlakunya gerhana.
Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid akan mengadakan sembahyang sunat Gerhana Matahari selepas menunaikan sembahyang fardu Zuhur berjemaah di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara dengan tumpuan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien pada hari tersebut.
Oleh yang demikian, orang ramai dan para jemaah adalah dialu-alukan hadir ke masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bagi sama-sama menunaikan sembahyang sunat Gerhana Matahari dengan mengikut garis panduan dan tatacara yang telah ditetapkan ketika berada di masjid, surau dan balai ibadat serta mematuhi nasihat-nasihat daripada Kementerian Kesihatan.