Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Son, Hwang berganding bahu ketika Korea Selatan belasah Singapura 5-0

    SEOUL, 17 NOV – Lima hari selepas berdepan antara satu sama lain dalam Liga Perdana Inggeris, Son Heung-min dan Hwang Hee-chan berganding bahu dan menjaringkan gol masing-masing untuk membantu Korea Selatan menewaskan Singapura 5-0 dalam kelayakan Piala Dunia pada kelmarin.

    Pasukan teratas benua itu menyertai pertandingan kelayakan Asia pada pusingan kedua pada kelmarin. Australia dan Jepun juga bermula dengan kemenangan yang selesa.

    Pada hari Sabtu, pasukan Hwang, Wolverhampton menewaskan pasukan Son, Tottenham 2-1. Ketika menentang Singapura, Hwang menjaringkan gol kedua dan Son mendapat gol ketiga. Cho Gue-song, Hwang Ui-jo dan Lee Kang-in turut menjaringkan gol di Seoul ketika Korea Selatan cuba mencapai Piala Dunia ke-11 berturut-turut.

    Hwang, yang telah menjaringkan enam gol Liga Perdana Inggeris untuk Wolves musim ini, menanduk masuk hantaran lintang Cho pada minit ke-49. Son, yang telah menjaringkan lapan gol liga musim ini, melencongkan rembatan dari tepi kawasan tidak lama kemudian.

    “Saya telah berlatih sedikit dari tempat itu. Saya sentiasa yakin apabila saya merembat dari sana,” kata Son. “Mungkin sudah menjadi kebiasaan. Dan melihat penerbangan dan kelajuan rembatan, saya rasa ia akan masuk.”

    Son kelihatan mengalami kecederaan buku lali pada lewat permainan tetapi dia kekal di padang untuk melengkapkan 90 minit.

    “Bukan saya seorang sahaja yang terluka di luar sana. Semua orang bermain dengan beberapa lebam,” kata Son. “Bermain untuk pasukan kebangsaan adalah satu penghormatan yang luar biasa … saya tidak boleh menyerah begitu sahaja hanya kerana saya terluka.”

    Dua pasukan teratas daripada setiap sembilan kumpulan empat dalam pusingan kedua akan mara ke peringkat ketiga. – AP

    Son Heung-min meraikan golnya untuk pasukannya semasa pusingan kedua perlawanan kelayakan Asia kumpulan C Piala Dunia 2026 antara Korea Selatan dan Singapura di Stadium Piala Dunia Seoul di Seoul, Korea Selatan, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...