Seorang wartawan media Korea Selatan, Ahn Jin Yong mendedahkan barisan pelakon Korea gred A di negara tersebut menerima bayaran sekurang-kurangnya RM1 juta bagi satu episod drama pada 2023.
Memetik laporan Allkpop, beberapa aktor Korea termasuk Song Joong Ki, Lee Jong Seok dan Ji Chang Wook menerima sekitar 300 juta Korean Won (RM1,035,079) bagi setiap episod. Tambahnya lagi, bayaran yang diterima untuk drama 16 episod boleh mencecah hampir 4.8 bilion hingga 5 bilion KRW atau kira-kira RM17 juta.
“Mereka menerima jaminan lebih 300 juta KRW untuk setiap episod drama bersiri.
“Jumlah pendapatan yang diterima berdasarkan drama 16 episod pula boleh mencecah hampir 4.8 bilion hingga 5 bilion KRW,” katanya.
Sementara itu, Jin Yong mendedahkan pelakon wanita didakwa menerima bayaran lebih rendah berbanding aktor lelaki yang menjelaskan wujud diskriminasi terhadap gender dalam kalangan pelakon di negara berkenaan.
Bagaimanapun, Jeon Ji Hyun dan Song Hye Kyo antara pelakon wanita yang menerima bayaran termahal iaitu sekitar 200 juta KRW (RM690,053) untuk setiap episod. Jin Yong menganggarkan pelakon, Song Hye Kyo menerima sekitar 200 juta Korean Won untuk satu episod lakonannya dalam drama siri, The Glory yang disiarkan di saluran penstriman digital, Netflix.
Wartawan tersebut turut memberi jangkaan aktres itu bakal menerima lebih banyak lagi bayaran untuk projek seterusnya. Untuk rekod, Hye Kyo memegang watak sebagai seorang wanita yang mengalami trauma dan ingin membalas dendam dalam siri drama, The Glory.
Siri itu telah disiarkan pada 30 Disember lalu dan bakal muncul dengan bahagian kedua yang dijangka menemui penonton pada Mac depan. – Agensi
