Oleh Salawati Haji Yahya
Selepas melewati enam bulan pertama pada tahun 2022, pembangunan negara semakin giat berlaku di sepanjang bulan Julai dan Ogos, sama ada dari segi sukan, pembanterasan kegiatan jenayah dan sebagainya.
Sorotan peristiwa bulan Julai
Sebagai pembuka tirai pada bulan Julai, Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam telah diadakan di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, ibu negara.
Upacara itu adalah bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang diraikan setiap 15 Julai.
Cemas tersangkut pada kerusi
Pada 3 Julai, seorang budak lelaki dan warga sekolah cemas apabila budak lelaki tersebut tersangkut pada kerusi dalam insiden di sebuah sekolah agama di negara ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), anggotanya telah bertindak cekap membantu mengeluarkan budak lelaki berusia 13 tahun itu setelah tersekat sebahagian badannya di kerusi kayu berangka besi.
Lebih 140kg tongkeng, daging tanpa permit dirampas
Sebanyak 135.8 kilogram (kg) tongkeng ayam dan 9.2kg daging mentah berjaya dirampas dari sebuah rumah di kawasan Kampung Kilanas pada 5 Julai lalu, kerana didapati telah dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import halal.
Rampasan berlaku dalam satu operasi bersepadu yang telah dijalankan oleh pegawai-pegawai Penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).
Buku sumber mengenai sejarah Asia Tenggara dilancar
Pada 6 Julai, sebuah buku sumber bertajuk Understanding Shared Histories in Southeast Asia, hasil Projek Promoting Intercultural Dialogue and a Culture of Peace in Southeast Asia through Shared Histories yang dianjurkan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisations (UNESCO) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Perkembangan Kurikulum telah dilancarkan di Dewan Serambi Batil, Tarindak D’Seni, di sini.
Penghasilan buku sumber itu bertujuan untuk mengembangkan dan mempromosi bahan sumber pendidikan yang inovatif bagi sejarah Asia Tenggara.
Geng Mary Jane tumpas
Pada bulan ini juga, seramai 18 orang warga tempatan terdiri daripada 13 lelaki dan lima perempuan, berumur antara 18 hingga 53 tahun telah berjaya diberkas dalam beberapa siri serbuan Operasi Mary Jane (MJ) yang menyasarkan sindiket pengedaran dadah jenis ganja, sepanjang tempoh dua minggu awal Julai.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Biro Kawalan Narkotik (BKN), serbuan-serbuan berkenaan telah dijalankan ke atas beberapa buah kediaman di Kampung Mata-Mata, Kampung Lambak Kiri, Kampung Panchor Mengkubau, Kampung Tanah Jambu, Kampung Rimba, Kampung Sungai Besar dan Kampung Mentiri, Daerah Brunei dan Muara.
Hasil risikan BKN mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif mengedar dadah ganja dan dikenal pasti sebagai salah satu dalang yang memasukkan dadah jenis ganja ke negara ini untuk pasaran tempatan yang disasarkan kepada golongan belia. Pada tahun ini sahaja, sehingga Jun lalu, BKN telah mencatatkan sebanyak 151 tangkapan yang terdiri daripada golongan belia iaitu antara umur 15 hingga 35 tahun. Kadar berkenaan, menurut BKN, sangat membimbangkan kerana merupakan separuh daripada jumlah tangkapan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Berkenan ke Istiadat Barisan Kehormatan Hari Keputeraan
Pada 15 Julai 2022, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Istiadat Barisan Kehormatan bersempena Memperingati Hari Keputeraan Baginda ke-76 tahun di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien. Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Baginda ke upacara berkenaan.
Pada hari yang sama, Baginda Sultan dan kerabat diraja berkenan berangkat ke Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-76 Tahun, di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.
Ramah mesra di keempat-empat daerah
Bersempena hari keputeraan Baginda Sultan ke-76 tahun, majlis ramah mesra bersama rakyat merupakan salah satu acara yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat dan penduduk negara sebagai peluang untuk beramah mesra dengan raja dan pemimpin yang amat dikasihi.
Pada tahun ini, Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong adalah yang pertama menandakan bermulanya majlis berkenaan pada 19 Julai lalu, diikuti Daerah Belait pada 21 Julai, Daerah Brunei dan Muara pada 24 Julai dan diakhiri di Daerah Tutong pada 26 Julai lalu.
Operasi Pirates rampas 531.37g syabu
Pada akhir bulan Julai, BKN sekali lagi berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu dalam Operasi Pirates yang dijalankan di 11 buah lokasi.
Operasi yang dijalankan pada 24 Julai lalu selama lima hari berturut-turut itu telah menahan 23 lelaki dan enam perempuan terdiri daripada rakyat tempatan dan warganegara asing berumur antara 19 ke 63 tahun. Antara yang ditangkap termasuk sepasang suami isteri yang dikenal pasti sebagai salah satu dalang sindiket kemasukan dadah jenis syabu ke negara ini.
Peristiwa bulan Ogos
Pada 1 Ogos merupakan satu tarikh yang dinanti-nantikan bagi penduduk dan rakyat di Negara Brunei Darussalam dan negara jiran apabila aktiviti rentas sempadan darat dan laut disambung semula.
Pada hari yang sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada 266 penerima sempena hari keputeraan Baginda Sultan yang ke-76 tahun, di Balai Singgahsana Indera Kencana, Istana Nurul Iman.
Pemandu tersepit dihempap lori
Pada 23 Ogos lalu, negara telah digemparkan dengan berita mengenai seorang pemandu tersepit di bahagian kaki dan tangan setelah terbabit kemalangan dengan sebuah lori yang membawa muatan tanah dan bongkah batu pada kejadian yang berlaku di lampu isyarat Damuan menuju Kampung Bunut sekitar jam 10:04 pagi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), mendapati dua buah kenderaan melibatkan sebuah lori dan kereta jenis SUV kemalangan, yang mana lori tersebut telah menghempap kereta SUV berkenaan hingga menyebabkan pemandunya tersepit di bahagian kaki dan tangan.