Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Sour Cream & Chives Dip mengandungi cuka alkohol

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Setelah membuat pemeriksaan, Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) mendapati produk Sour Cream & Chives Dip jenama Doritos telah mengandungi white wine vinegar iaitu sejenis cuka diperbuat daripada alkohol (minuman keras) yang umat Islam dilarang untuk memakan atau meminumnya.

    Oleh itu, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, Jabatan Hal Ehwal Syariah telah mengarahkan pemilik premis untuk mengasingkan semua produk tersebut dengan serta-merta di ruang non-halal section yang tidak terdedah kepada penjualan awam.

    Perkara ini juga dirujuk kepada syarikat pengeluar produk iaitu Walkers Snack Food Ltd (UK) yang mengesahkan bahawa tiada pensijilan halal dikeluarkan ke atas produk tersebut.

    Semua pengimport, pasar raya dan kedai di negara ini juga dinasihatkan supaya melakukan tindakan pengasingan serta-merta jika terdapat produk yang sama diedarkan dan dijual di premis masing-masing.

    Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) juga mengingatkan kepada pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimpot produk di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk import yang akan dijual di pasar raya atau kedai dengan memastikan produk halal tidak bercampur dengan yang tidak halal.

    Orang ramai yang ingin membuat aduan mengenai penjualan produk tidak halal secara terbuka di premis perniagaan bolehlah menghubungi talian hotline BKMH 7166222 atau mana-mana pejabat BKMH di setiap daerah.

    Produk Sour Cream & Chives Dip jenama Doritos didapati mengandungi white wine vinegar. – Gambar serahan KHEU
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...