Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Jumlah sasaran lantikan kakitangan kerajaan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) disaran ditingkatkan kerana buat masa sekarang, dianggarkan hanya 1,000 lantikan pekerja dibuat dalam setahun.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin (gambar) menyentuh mengenai perkara itu pada hari kelima permesyuaratan MMN yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis semasa membahaskan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) suruhanjaya itu. Menurutnya, terdapat kira-kira 4,000 kekosongan setahun, dengan sebanyak 1,800 hingga 2,000 lagi pekerja bersara setiap tahun.
“Kalau setakat sasaran mengisi 1,000 kekosongan setahun, ini bermakna banyak kekosongan dalam pekerjaan tidak akan dipenuhi dan akan meningkat tahun demi tahun,” tambahnya.
Sehubungan itu, Yang Berhormat memohon pencerahan tentang strategi menangani perkara itu dan adakah pelan lebih agresif untuk mengisi kekosongan tersebut. Beliau turut memberi cadangan agar SPA membuat penelitian awal bagi menggantikan pegawai yang akan bersara dan memaklumkan kepada kementerian untuk tidak menunggu saat-saat akhir mencari kekosongan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof ketika menjawab persoalan Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman menjelaskan sememangnya 1,000 kekosongan diisikan secara lantikan baharu.


“Perangkaan pengisian jawatan kosong sepanjang tahun 2022 menunjukkan sebanyak 2,104 kekosongan jawatan telah selesai diisikan sama ada secara lantikan baharu (1,425 kekosongan), kenaikan pangkat (675 kekosongan) ataupun lantikan selepas bersara (22 kekosongan),” katanya.
Menurut Yang Berhormat Pehin, jumlah pengisian jawatan kosong yang diserahkan SPA adalah tertakluk kepada jumlah kekosongan jawatan yang diterima daripada kementerian-kementerian.
“Sepanjang tahun 2022, direkodkan sebanyak 1,122 kekosongan jawatan telah dihadapkan kepada SPA untuk pengiklanan. Untuk itu, SPA akan terus bekerjasama erat dengan kementerian-kementerian untuk meningkatkan lagi jumlah pengiklanan jawatan-jawatan kosong,” kata Yang Berhormat Pehin.
Yang Berhormat Pehin seterusnya mengongsikan antara usaha-usaha SPA dalam mendapatkan maklumat kekosongan jawatan iaitu kaedah trigger kekosongan yang akan berlaku disebabkan persaraan wajib melalui surat pemberitahuan kepada kementerian-kementerian dan bekerjasama dengan JPA bagi mendapatkan pengesahan kekosongan jawatan disebabkan persaraan wajib untuk sepanjang tahun 2023.
“Kaedah trigger kekosongan ini juga digunakan bagi jawatan yang baru dikosongkan sebab kenaikan pangkat. Antara usaha untuk mengisikan kekosongan jawatan ialah kaedah lantikan calon simpanan yang mana kekosongan jawatan diisikan oleh calon simpanan tanpa pengiklanan,” jelas beliau lagi.
Di sepanjang tahun 2022, sebanyak 167 kekosongan jawatan telah diisikan oleh calon-calon simpanan, tambahnya.
Beliau turut menerangkan mengenai Stopgap Measure bagi kenaikan pangkat dan inisiatif talent pool yang kini sedang dirancang bertujuan untuk mempercepatkan pengisian kekosongan jawatan dalam bahagian tersebut.

