PUTRAJAYA, 1 JAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak merancang untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah, berikutan lat tempoh yang masih berkuat kuasa.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata bagi Sarawak, SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan tersebut.
Beliau berkata urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
“Bagi maksud tersebut, urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu telah selesai dijalankan pada 2018, manakala bagi Sarawak dan Sabah masing-masing pada 2015 dan 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Ghani berkata sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri oleh SPR, serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata SPR di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dari semasa ke semasa sebagaimana difikirkan perlu, bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri berlandaskan prinsip dan tatacara ditetapkan Perlembagaan Persekutuan. – Bernama
