Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    S’pura tumpu bekalan pertanian, penternakan Brunei

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Bahiyah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Isu keselamatan makanan adalah antara yang dibincangkan oleh Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar Republik Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu semasa perbincangannya bersama Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, dan bagaimana kedua-dua buah negara boleh saling melengkapi.

    “Kedua-dua buah negara merupakan negara yang kecil dengan jumlah penduduk yang kecil, tetapi yang begitu jelas, Negara Brunei Darussalam mempunyai lebih banyak tanah daripada Republik Singapura.

    “Di Republik Singapura, kami berfikir kami mempunyai pengetahuan seperti dalam bidang penternakan ikan,” ujar Puan Yang Terutama semasa mengadakan pertemuan bersama pengamal media tempatan di Business Centre, The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.

    Beliau seterusnya menambah, mereka boleh membawa sumber pengetahuan berkenaan seperti ruang laut (sea space) kepada sumber manusia di Brunei dan Republik Singapura untuk diusahakan.

    “Bekalan makanan yang lebih mampan dan terjamin di Negara Brunei Darussalam boleh memberi manfaat kepada industri makanan Brunei dan penduduk Singapura,” ujarnya lanjut.

    PYT Grace Fu ketika sesi perbincangan semasa majlis berkenaan.
    PYT Grace Fu dan para peserta bergambar ramai semasa majlis berkenaan.

    Puan Yang Terutama seterusnya berkata, jika dapat mengeksport makanan seperti telur dan ikan ke Republik Singapura, ia akan membawa perniagaan baharu kepada petani di Brunei dan golongan pelabur di mana ia mampu memberi pulangan ekonomi yang lebih baik dalam aspek pelaburan, pada masa yang sama, memberi mereka sumber makanan baharu.

    Memandangkan keadaan persekitaran di negara ini, air dan udaranya yang bersih, beliau berkata, ia memberi mereka jaminan bahawa mereka mampu mendapatkan bekalan.

    “Ia adalah sama-sama menang bagi kedua-dua pihak, dan saya fikir dalam pasca pandemik, itulah sesuatu yang kita perlu fikirkan mengenai kedayatahanan bekalan, sama ada bagi makanan atau lainnya,” ujarnya.

    Beliau percaya bahawa ini adalah salah satu bidang di mana kedua-dua buah negara boleh bincangkan lagi, sama ada mengenai saling menyokong dalam hal makanan atau keselamatan makanan.

    Mengulas mengenai lawatan kerja beliau ke Golden Chick Livestock Farm Sdn Bhd di Sungai Petai, Labi, Belait, baru-baru ini, Puan Yang Terutama berkata Republik Singapura amat gembira untuk memberi akreditasi kepada Brunei untuk mengeksport telur ke Republik Singapura dan ini akan menjadi yang pertama.

    “Lawatan saya telah menunjukkan tumpuan diberikan kepada kesihatan haiwan dan keselamatan makanan. Saya sangat kagum melihat proses itu sangat automatik,” kongsinya.

    Beliau menambah bahawa dengan adanya kecekapan proses pengendalian dalam industri berkenaan, mewujudkan kepantasan dalam menyalurkan bekalan makanan untuk dieksport. Dengan kata lain, ia tidak memerlukan masa yang lama untuk dieksport bahkan ia akan tiba lebih segar di Republik Singapura.

    Ini pastinya boleh memanjangkan jangka hayat makanan, yang memberi kesan baik untuk industri perladangan makanan di Negara Brunei Darussalam.

    “Saya begitu teruja apabila menyaksikan penggunaan teknologi itu dan saya berharap untuk melihat lebih banyak lagi.

    “Saya pasti dengan kami mewujudkan bekalan seperti itu dan rantaian bekalan yang diperlukan, kami berharap dapat menggalakkan lebih banyak perniagaan untuk mempertimbangkan bagi melabur di Brunei,” ujar Puan Yang Terutama.

    Dalam aspek kerjasama konkrit lain yang akan dihasilkan daripada lawatan itu, Puan Yang Terutama menyentuh mengenai lawatan kerjanya ke Barramundi Asia (B) Sdn Bhd, yang telah berjaya menetas dan menuai kumpulan pertama ikan-ikan, dan Republik Singapura sedang melihat bagaimana untuk menyalurkan sokongan yang lebih baik kepada mereka.

    “Masih banyak kerja yang perlu dilakukan, dan saya tidak mahu memandang rendah cabaran kerana ia membangun-kan pasaran baharu, cara baharu operasi logistik untuk menghantar ikan tepat pada masanya ke pasaran, jadi masih banyak yang perlu diusahakan,” ujarnya lanjut.

    Dalam pada itu, Puan Yang Terutama turut mengongsikan lawatan kerjanya ke Negara Brunei Darussalam adalah bagi membuka sumber makanan baharu untuk Republik Singapura dan mengeksport daripada golongan petani di negara ini.

    “Apa yang lebih penting lagi adalah untuk memastikan piawaian keselamatan dipenuhi kerana kedua-dua negara ingin bermula dengan landasan yang baik agar dapat kepercayaan orang ramai sehingga mampu membuktikan jenama Negara Brunei Darussalam itu berkualiti tinggi,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda