Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Srettha umum rancangan jadikan Thailand peneraju teknologi bernilai tinggi

    BANGKOK, 2 NOV – Perdana Menteri Srettha Thavisin komited untuk mengubah Thailand menjadi ekonomi berteraskan teknologi dan inovasi bernilai tinggi.

    Pada masa ini, hasil pengeluaran Thailand terutamanya terdiri daripada komoditi dengan keuntungan rendah dan produk-produk pertanian utama.

    Srettha, yang juga Menteri Kewangan berkata negara itu perlu mengintegrasikan teknologi untuk meningkatkan produktiviti keseluruhan, terutamanya bagi pengeluaran produk dan perkhidmatan bernilai tinggi.

    Beliau berkata kerajaan berhasrat untuk menggalakkan kenderaan elektrik (EV), elektronik pintar, robot dan automasi, perubatan dan kesihatan serta industri makanan diproses sebagai industri generasi akan datang (S-curve).

    “Dalam industri EV, kerajaan akan mewujudkan rantaian bekalan EV yang komprehensif yang merangkumi kereta elektrik, basikal elektrik, bas elektrik, bahagian dan komponen.

    “Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah untuk menambah baik persekitaran perniagaan untuk menarik pelabur, memberi keistimewaan dalam zon bebas ekonomi khas, mewujudkan pusat ujian bateri, merancang sukatan kursus akademik untuk tenaga mahir dan meluaskan infrastruktur untuk stesen pengecas,” katanya.

    “Matlamatnya adalah untuk menjadikan Thailand sebagai hab pembuatan EV dengan rantaian bekalan komprehensif di ASEAN,” katanya.

    Srettha menyampaikan ucaptama mengenai ‘Reformation of Thai Economy Amidst Polycrisis’ pada Majlis Makan Malam Gala Foreign Industrial Club yang dianjurkan oleh Persekutuan Perindustrian Thai (FTI) pada semalam. 

    Srettha berkata Thailand bercadang untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan produk pertanian dengan memanfaatkan inovasi dan teknologi bagi memastikan keselamatan makanan dan meningkatkan nilai eksport makanan negara itu.

    “Ini termasuk penilaian tanah yang komprehensif, pengurusan air dan pertanian tepat. Sasaran kerajaan adalah untuk meningkatkan pendapatan petani Thailand sebanyak tiga kali ganda dalam empat tahun akan datang,” katanya. 

    Perdana Menteri berkata Thailand menghadapi perubahan cepat yang boleh dipanggil polikrisis (polycrisis) iaitu ekonomi yang tidak stabil, pandemik global, kemajuan teknologi, persaingan antarabangsa, perubahan orde global dan perubahan iklim.

    “Oleh itu, Thailand perlu menjadi bukti masa depan untuk berkembang dalam ekonomi global yang semakin kompetitif dan konflik antarabangsa, perubahan tatanan global dan krisis iklim yang merupakan satu daripada ancaman yang paling mendesak yang memerlukan tindakan segera untuk mengurangkan kesannya terhadap manusia.

    “Tugas yang paling mendesak kerajaan ini adalah mengembalikan ekonomi ke landasan yang betul dan menyiapkan Thailand untuk kejayaan jangka panjang dengan mengurangkan kos sara hidup, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan kualiti hidup rakyat, mewujudkan peluang untuk rakyat Thailand dan meluaskan pelaburan dan perniagaan,” katanya.                                                                       

    Sementara itu, Srettha berkata kerajaan juga menggunakan langkah jangka sederhana dan panjang melalui rancangan seperti menggunakan diplomasi ekonomi proaktif untuk membuka pintu kepada pasaran baharu bagi produk dan perkhidmatan Thailand serta pembangunan lanjut zon ekonomi khas dan koridor ekonomi di semua empat wilayah negara.

    Selain itu, katanya, Thailand juga akan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dan menambah baik pakej insentif untuk menarik pelaburan asing.

    “Thailand akan mempromosikan perkembangan dan industri ekonomi baharu seperti ekonomi digital, industri berteknologi tinggi, industri hijau dan industri keselamatan negara; menambah baik infrastruktur seperti lapangan terbang untuk memudahkan perdagangan antarabangsa dan pelancongan berkembang.

    “Satu lagi projek menarik dalam perancangan adalah projek jambatan yang akan menghubungkan Laut Andaman ke Teluk Thailand, mengurangkan masa perjalanan melalui Selat Melaka dan meningkatkan daya saing logistik Thailand, ” katanya. – Bernama

    Srettha Thavisin komited untuk mengubah Thailand menjadi ekonomi berteraskan teknologi dan inovasi bernilai tinggi. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...