Thursday, January 30, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sri Lanka umum tarik balik larangan import kenderaan selepas lima tahun

    COLOMBO, 28 JAN – Sri Lanka mengumumkan penarikan balik larangan import kenderaan selama lima tahun hari ini, menunjukkan tanda-tanda pemulihan daripada krisis ekonomi terburuk yang melanda negara itu.

    Menteri Penerangan, Nalinda Jayatissa, berkata bas, trak, dan kenderaan utiliti akan dibenarkan diimport bermula Sabtu ini melalui penghapusan sekatan secara berperingkat yang telah dikuatkuasakan sejak 2020.

    “Kami bergerak dengan berhati-hati kerana tidak mahu lonjakan import yang akan mengurangkan rizab mata wang asing kami,” katanya kepada pemberita di Colombo.

    “Bergantung kepada permintaan, kami akan membuka import kategori kenderaan lain seperti kereta, motosikal dan tiga roda,” tambahnya.

    Beliau menambah bahawa import kenderaan adalah perlu untuk menjana pendapatan cukai yang sangat diperlukan, dengan sasaran kerajaan untuk mengehadkan import kepada sekitar AS$1.2 bilion pada tahun ini.

    Gambar AFP

    Kadar cukai semasa ke atas kenderaan melebihi 300 peratus.

    Pada 2019, sebelum larangan import dikuatkuasakan pada Mac 2020, Sri Lanka membelanjakan sebanyak AS$1.4 bilion untuk import kenderaan.

    Negara itu sebelum ini cuba untuk menamatkan larangan import kenderaan komersial pada Ogos 2023, tetapi pengimport tidak dapat membuka surat kredit kerana Sri Lanka masih berada dalam status kegagalan membayar hutang luar negara.

    Sri Lanka secara rasmi menamatkan statusnya sebagai negara muflis pada Disember lalu selepas mencapai perjanjian penyusunan semula hutang dengan kedua-dua pemiutang dua hala dan swasta.

    Negara itu gagal membayar hutang luar negara berjumlah AS$46 bilion pada April 2022 apabila rizab mata wang asing habis digunakan, menyebabkan kekurangan bekalan makanan, bahan api dan ubat-ubatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda