Monday, May 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Bangkai tikus dalam roti, lebih 100,000 ditarik balik di Jepun

    TOKYO, 8 MEI – Lebih 100,000 peket roti telah ditarik balik di Jepun selepas bahagian bangkai tikus hitam ditemui di dalamnya, kata pengilang hari ini.

    Penarikan balik makanan jarang berlaku di Jepun, sebuah negara yang terkenal dengan standard kebersihan yang tinggi dan Pasco Shikishima Corporation berkata, ia sedang menyiasat bagaimana tikus telah masuk ke dalam produknya.

    Syarikat itu berkata, setakat ini mereka tidak mengetahui ada yang jatuh sakit sele-pas makan roti putih ‘chojuku’ yang diproses itu, makanan ruji sarapan pagi Jepun.
    Kira-kira 104,000 pek roti telah ditarik balik di tanah besar Jepun, dari Tokyo ke wilayah Aomori utara.

    “Kami ingin memohon maaf sedalam-dalamnya kerana menimbulkan masalah kepada pelanggan kami,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan kelmarin.

    Kemudian hari ini, Pasco mengesahkan bahawa bahagian tikus hitam telah mencemari dua pek roti.

    Gambar Freepik

    Ia dihasilkan oleh pembuat roti di sebuah kilang di Tokyo, yang operasinya telah digantung sementara menunggu siasatan, kata Pasco.

    “Kami akan mengukuhkan sistem pengurusan kualiti kami untuk memastikan ia tidak akan berulang,” tambahnya.

    Kebersihan dipandang serius di Jepun, tetapi keracunan makanan dan penarikan balik kadangkala menjadi tajuk utama.

    Tahun lalu, rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven memohon maaf dan mengumumkan penarikan balik selepas seekor lipas ditemui dalam bebola nasi.

    Insiden kebimbangan kesihatan terbaharu di Jepun adalah penarikan balik oleh pembuat ubat Kobayashi Pharmaceutical bagi makanan tambahan yang bertujuan untuk menurunkan kolesterol.

    Firma itu berkata bulan lalu ia sedang menyiasat lima kematian yang berpotensi dikaitkan dengan produk yang mengandungi beras yis merah, atau ‘beni koji’. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    2 polis cedera, 1 maut akibat serangan beruang

    TOKYO, 19 MEI - Pihak berkuasa Jepun memberi amaran kepada penduduk supaya berwaspada dengan beruang liar di timur laut negara itu selepas beberapa orang...