Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    StanChart lancar program kerja hibrid

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Dengan matlamat membolehkan para pekerja memilih corak kerja pilihan mereka untuk pengalaman work-life balance yang lebih baik, Bank Standard Chartered (StanChart) Brunei telah melancarkan program kerja hibrid inovatif menerusi Future Workplace Now (FWN) untuk golongan kakitangannya.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank StanChart Brunei, hari ini, Program FWN direka bentuk dan dilancarkan untuk menyokong tempat kerja dengan masa depan yang berkesan dan mampan untuk kakitangan di bawahnya.

    Pendekatan kerja hibrid memberikan kefleksibelan yang lebih baik dari segi waktu kerja dan lokasi, yang bukan sahaja sesuai untuk majikan tetapi juga pekerja bank.

    Oleh itu, program FWN memperkenalkan penyelesaian baharu dan jangka panjang bagi kerja fleksibel dan reka bentuk semula kerja dan tempat kerja untuk masa hadapan.

    Ketua Sumber Manusia, Bank StanChart Brunei, Laila Li, berkata program berkenaan merupakan perubahan budaya organisasi, di mana kerja hibrid dipercayai akan memperkasakan mereka untuk memikirkan semula produktiviti dan pengalaman pekerja.

    StanChart Brunei telah melancarkan program kerja hibrid inovatif menerusi Future Workplace Now (FWN) untuk golongan kakitangannya.

    “Pemimpin mesti memimpin untuk menghubungkan pekerja dalam persekitaran kerja baharu demi menunaikan janji kami kepada pelanggan dan komuniti, sambil memastikan kesejahteraan warga pekerja kami, menjadikan bank tempat yang bagus untuk bekerja,” ujarnya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank StanChart Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim turut menambah, “Di StanChart, kami percaya pada penyelesaian inovatif kepada cara kami bekerja yang membawa manfaat kepada pelanggan dan rakan sekerja.

    “Pekerja yang gembira membawa kepada produktiviti dan kesejahteraan yang lebih baik yang seterusnya akan membina daya tahan organisasi sementara menawarkan pengalaman pekerja yang berbeza,” jelasnya.

    Program FWN telah menerima sambutan positif daripada kakitangan bank. Selain memilih lokasi kerja yang fleksibel, pekerja yang layak juga akan diberikan elaun untuk mempertingkat kerja dari rumah mereka.

    Dalam pada itu, Bank StanChart berusaha untuk menjadikan bank sebagai tempat yang bagus untuk bekerja dengan melibatkan pekerja melalui pelbagai program berpandukan kepada empat tonggak, memfokuskan kepada Kesejahteraan Mental, Kesejahteraan Fizikal, Kesejahteraan Sosial dan Kesejahteraan Kewangan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...