Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Status amaran Gunung Ibu dinaikkan ke tahap tertinggi

    JAKARTA, 16 MEI – Pihak berkuasa Indonesia hari ini telah menaikkan status amaran gunung berapi di timur kepulauan itu ke tahap tertinggi selepas ia memuntahkan abu dan asap sejauh lima kilometer ke langit untuk hari kedua berturut-turut.

    Gunung Ibu, yang terletak di pulau Halmahera yang terpencil di timur Indonesia, telah meletus pada pagi tadi, menghamburkan abu gunung berapi setinggi 5,000 meter di atas puncaknya.

    Agensi geologi negara itu kemudian menaikkan status amarannya ke tahap tertinggi bagi sistem empat peringkat, yang bermakna letusan sedang berlaku.

    “Berdasarkan pemantauan visual dan instrumental yang menunjukkan peningkatan aktiviti gunung berapi Gunung Ibu, tahap amaran dinaikkan daripada tahap tiga kepada tahap empat,” kata ketua agensi Muhammad Wafid dalam satu kenyataan.

    Gunung Ibu telah menunjukkan peningkatan aktiviti gunung berapi yang signifikan sejak pertengahan April dan beberapa siri gempa bumi menunjukkan tekanan yang meningkat kerana magma yang berpindah ke permukaan gunung berapi, kata Wafid.

    Penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Ibu dan pelancong dinasihatkan supaya menjauhi zon pengecualian empat hingga tujuh kilometer dari puncak dan memakai pelitup muka. – AFP

    Gunung Ibu memuntahkan asap tebal di Gam Ici, Maluku Utara, pada 13 Mei lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda