Friday, February 7, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suami isteri ditahan, disyaki terlibat edar dadah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Sepasang suami isteri berusia 34 dan 38 tahun telah ditahan di kediaman mereka di Jalan Singa Menteri, Kuala Belait, pada 15 Jun lalu kerana disyaki terlibat dengan pengedaran dadah.

    Turut ditahan semasa di tempat kejadian ialah dua orang lelaki tempatan berumur 30 dan 31 tahun yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN), di sini, hari ini.

    Kenyataan menyatakan, hasil pemeriksaan telah menemui beberapa paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis Syabu, dadah Kelas A melebihi 35 gram yang dianggarkan bernilai lebih $6,000.

    Antara barang lain yang dirampas adalah beberapa alat perkakas yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah dan satu alat timbangan digital serta beberapa paket plastik kosong yang disyaki untuk kegunaan aktiviti penjualan dadah.

    Daripada siasatan yang telah dijalankan mendapati bahawa dadah yang dirampas adalah bagi tujuan pengedaran yang mana dua orang lelaki yang turut tertangkap adalah pelanggan yang datang.

    Biro Kawalan Narkotik telah merampas beberapa paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis Syabu. – Gambar serahan BKN

    Menurut BKN, siasatan masih dijalankan terhadap pasangan suami isteri dan dua lelaki berkenaan dengan dua daripadanya juga disiasat di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar yang boleh membawa hukuman minima lima tahun penjara dan lima sebatan dan hukuman maksima 20 penjara dan 15 sebatan serta memiliki bagi tujuan mengedar dadah terkawal Kelas A, lebih daripada 100 gram membawa kepada hukuman gantung hingga mati.

    BKN dalam kenyataan itu mengingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah APD, Penggal 27, jika terlibat dengan apa jua bentuk aktiviti berhubung dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah terkawal.

    Aktiviti pengedaran dadah adalah punca kerosakan masyarakat sekeliling dan ia boleh mengganggu ketenteraman awam serta merosakkan masa depan seseorang. Individu-individu yang terlibat dalam aktiviti berkenaan adalah golongan yang mengaut keuntungan daripada kemusnahan dan pecah belah keluarga dalam komuniti yang mana impak negatif ini akan memusnahkan kestabilan dan keselamatan negara.

    Justeru itu, BKN menyeru orang ramai agar memberikan kerjasama bagi sama-sama membasmi aktiviti-aktiviti yang boleh merosakkan masa depan Negara Brunei Darussalam.

    Sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah boleh menghubungi talian 2448877 (waktu pejabat), hotline 8777444 (selepas waktu pejabat) atau e-mel ncb@narcotics.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda