Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Suami isteri hasilkan patung unik daripada doh

    GEORGE TOWN – Minat dan kecintaan yang mendalam terhadap seni kraf tradisional mendorong pasangan suami isteri Loh Ban Tatt, 54, dan Elaine Teoh, 53 belajar sendiri menghasilkan ukiran patung sempena Tahun Baharu Cina.

    Mungkin kedengaran asing namun menurut Elaine, seni unik itu merupakan warisan yang berasal dari negara China dan telah pun wujud sejak lebih 1,500 tahun lepas, tetapi semakin dilupakan generasi hari ini, malah jika ada sekali pun kebanyakannya dilihat sudah hilang identiti asal kerana tidak menggunakan bahan asli sebaliknya ditukar kepada bahan lain seperti tanah liat.

    Elaine berkata dia dan suaminya mula menghasilkan patung-patung itu sejak enam tahun lepas dan mengambil masa setahun mencuba pelbagai teknik dan sukatan sebelum dapat menghasilkan doh tepung yang sempurna.

    “Kita menggunakan 100 peratus kaedah tradisional dari awal proses pembuatan doh hingga siap menjadi sebuah patung kerana mahu mengekalkan keasliannya seperti yang dibuat oleh nenek moyang terdahulu.

    “Bagaimanapun, jika dahulu patung-patung yang dihasilkan hanyalah patung keagamaan, tetapi kini kita telah memodenkannya seiring peredaran masa dengan membuat patung berkonsepkan animasi kerana mahu menarik minat golongan muda terutama kanak-kanak untuk mengenali seni ini,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Paya Terubong, di sini.

    Tatt menghasilkan seni kraf tradisional iaitu ukiran patung sempena Tahun Baharu Cina di kediamannya di Paya Terubong. – Bernama
    Elaine Teoh menunjukkan patung-patung yang dihasilkan oleh suaminya sempena Tahun Baharu Cina ketika ditemui wartawan Bernama di di kediamannya di Paya Terubong. – Bernama
    Gambar Bernama

    Elaine berkata bahan asas yang digunakan untuk membuat doh itu adalah campuran tepung gandum, tepung pulut dan air yang kemudiannya dikukus selama 45 minit.

    Seterusnya, ia diuli dalam keadaan masih panas dan memakan masa sehingga seminggu untuk mendapatkan kesempurnaan tekstur yang kenyal dan licin.

    Selepas siap, doh-doh itu akan dicampurkan pula dengan warna tertentu dan disimpan di dalam bekas bagi mengelakkan ia menjadi keras sekali gus sukar dibentuk jika terdedah terlalu lama kepada udara.

    Setiap tahun, pasangan kepada tiga cahaya mata lelaki itu akan menghasilkan patung haiwan mengikut kalendar Lunar masyarakat Cina, dan bersempena Tahun Baharu Cina kali ini, Elaine dan Loh menghasilkan patung animasi naga dalam pelbagai saiz.

    Semua patung-patung comel itu dibentuk dan diukir dengan penuh ketelitian oleh Loh bagi memastikan setiap perincian yang dihasilkan adalah sempurna. Biarpun dalam keadaan kurang sihat, dia tetap tekun dan bersemangat malah ketika ditahan selama sebulan di wad baru-baru ini pun kerja seninya itu turut dibawa sekali kerana menganggap ia sebagai terapi.

    Sementara itu menurut Loh, patung-patung hiasan itu dijual sekiranya ada permintaan dengan harga antara RM10 hingga RM68 mengikut saiz, dan patung hiasan mereka turut menghasilkan aksesori seperti rantai kunci dan anting-anting.

    Loh berkata dia sebenarnya mahu membuat ukiran patung naga sebenar yang lebih besar untuk Tahun Baharu Cina ini tetapi terpaksa mengehadkan pergerakan disebabkan faktor kesihatan.

    “Untuk menyiapkan satu-satu patung ini tidak susah hanya memakan masa antara 15 hingga 20 minit untuk patung kecil namun jika melibatkan perincian yang rumit boleh mengambil masa sehingga sehari tetapi, paling lama adalah proses untuk menunggu doh patung itu betul-betul kering dan mengeras,” katanya.

    Sementara itu, bagi memastikan seni itu tidak hilang ditelan zaman, Loh dan Elaine turut aktif menerima jemputan dari pelbagai pihak termasuk sekolah bagi mengajar seni pembuatan patung berasaskan doh tepung itu.

    “Ramai anak muda hari ini tidak berminat untuk mempelajari seni ini disebabkan proses pembuatan doh yang rumit, tetapi kami berharap ada yang mahu meneruskan legasi ini suatu hari nanti,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...