Salah seorang mangsa nahas dua helikopter yang bertembung pada pagi Rabu adalah suami kepada sepupu pelakon Eyra Hazali, dedah mStar.
Eyra memaklumkan mangsa dikenali sebagai Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin adalah antara 10 mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.
“Al Fatihah kepada semua yang terlibat dengan kemalangan helikopter.
Salah seorang mangsa adalah suami kepada sepupu saya iaitu Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin.
“Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulisnya.
Eyra berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instastory miliknya pada Rabu.
Kira-kira pukul 9:03 pagi Rabu, dua pesawat malang itu berlepas dari Padang Sitiawan, Perak untuk latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90.
Menerusi video yang tular, dapat dilihat dua helikopter terbabit bertembung sesama sendiri ketika sedang membuat penerbangan.
Maklumat awal mendedahkan helikopter HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut. – Agensi