Monday, February 3, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suara merdu Siti Nurhaliza buat David Foster terpegun

    Keputusan penerbit dan komposer terkemuka dunia, David Foster mengundang penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk sama-sama membuat persembahan dengannya pada konsert malam tadi, terbukti tidak sia-sia.

    Siti Nurhaliza, yang mempersembahkan lagu nyanyian asal Celine Dion, The Power of Love, memukau kira-kira 3,000 penonton yang hadir pada konsert Hitman: David Foster and Friends Asia Tour 2023 di Mega Star Arena, Sungei Wang hingga membuatkan mereka berdiri dan memberi tepukan gemuruh.

    David yang mengiringi persembahan berkenaan dengan petikan piano turut terpegun dengan kelunakan suara penyanyi asal Kuala Lipis, Pahang itu dan secara spontan meminta Siti Nurhaliza mendendangkan satu lagi lagu ciptaannya All By Myself yang juga dipopularkan Celine Dion.

    “Beliau mempunyai suara yang sangat merdu,” kata David, 73, yang merupakan pemenang 16 Anugerah Grammy termasuk tiga Penerbit Tahunan Terbaik, pada konsert amal anjuran Yayasan Prihatin Nasional itu.

    Konsert berkenaan turut menampilkan barisan penyanyi antarabangsa seperti Michael Bolton, Peabo Bryson, Loren Allref, Katharine McPhee dengan kesemua mereka menyanyikan lagu hit sentuhan magik komposer dari Kanada itu.

    Lebih 15 lagu karya David dipersembahkan pada konsert selama dua jam itu antaranya When A Man Loves a Woman, Beauty and the Beast, If Ever You In My Arms Again, Can You Stop The Rain dan Cry Me A River.

    Lebih manis pada konsert itu apabila David mengiringi sendiri persembahan Siti Nurhaliza ketika menyanyikan lagu daripada album terbaharunya, SITISM berjudul ‘Sehebat Matahari’.

    Siti Nurhaliza turut dijemput membuat persembahan konsert sama di Singapura hari ini.

    Menerusi kenyataan Yayasan Prihatin, Siti Nurhaliza bersyukur dan berasa bertuah kerana diberi peluang serta kesempatan berganding bersama pemuzik dan komposer terkenal itu.– Bernama

    Siti Nurhaliza turut dijemput membuat persembahan konsert sama di Singapura kelmarin. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda