Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), selaku ejen kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengumumkan kejayaan penetapan harga terbitan sekuriti Sukuk Al-Ijarah ke-220 berjumlah $45 juta.
BDCB dalam kenyataannya hari ini menyatakan Sukuk Al-Ijarah siri 220 diterbitkan 20 Julai untuk tempoh 91 hari dengan tempoh matang pada 19 Oktober 2023 pada kadar sewa 3.6875 peratus.
Dengan terbitan tersebut, kerajaan Brunei sehingga kini telah menerbitkan sekuriti jangka pendek Sukuk Al-Ijarah bernilai kira-kira $16.25 bilion sejak tawaran pertama pada 6 April 2006 dan jumlah pegangan sukuk kerajaan sehingga 20 Julai ialah sebanyak $300 juta.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P3-3-web-Freepik_29072023.jpg)