Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Sultan Johor dipilih agong ke-17

    KUALA LUMPUR, 27 OKT – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari 2024.

    Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, hari ini.

    Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan.

    Mesyuarat itu turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

    Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja hari ini, yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.

    Kenyataan itu menyebut menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja itu telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

    “YAB Perdana Menteri juga telah dimaklumkan,” kata Syed Danial.

    Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, sememangnya dikenali sebagai seorang Sultan mesra rakyat dan sangat prihatin terhadap isu-isu rakyat.

    Sultan Ibrahim diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, di sini dan merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Khalsom Abdullah.

    Berusia 65 tahun, Baginda sangat dikenali rakyat Johor kerana sifatnya yang suka dan sentiasa mendekati rakyat, terutama menerusi Kembara Mahkota Johor yang diilhamkan Baginda sejak menjadi Tunku Mahkota Johor lagi. – Bernama

    Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar semasa berangkat ke Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...