Oleh Daniel Lim
BELAIT, 1 APRIL – Tabung Amal Anak-anak Yatim Daerah Belait, kelmarin, telah menerima sumbangan berjumlah $5,000 daripada beberapa buah syarikat dalam membantu mengurangkan beban anak-anak yatim menjelang bulan Ramadan.
Sumbangan diterima daripada Serikandi Oilfields Services Sdn Bhd, Jisco Marine Sdn Bhd dan Ya-Nur Trading Company Sdn Bhd yang berjumlah $4,000.
Serikandi Oilfields Services Sdn Bhd dan Ya-Nur Trading Company Sdn Bhd mendermakan sebanyak $1,500 setiap satu yang disampaikan oleh Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Serikandi, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmad, manakala itu, Jisco Marine Sdn Bhd mendermakan sebanyak $1,000 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Shaikh Ahmad Khalis bin Shaikh Haji Khalid.
Sementara itu, sumbangan peribadi sebanyak $1,000 juga diterima daripada Shaikh Haji Khalid serta keluarga yang disampaikan oleh Shaikh Ahmad Khairi bin Shaikh Haji
Khalid.
Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed di Pejabat Daerah Belait.
Jawatankuasa Tabung Amal Anak-Anak Yatim Daerah Belait sangat menghargai sumbangan penderma-penderma tersebut dan juga mengalu-alukan kepada mereka yang bermurah hati untuk sama-sama menderma kepada tabung berkenaan dengan berhubung terus ke Jawatankuasa Tabung Amal Anak-anak Yatim Daerah Belait di Jabatan Daerah Belait pada bila-bila masa sewaktu pejabat dibuka.
