Oleh Sim Y. H. & Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Anak-anak yatim dan golongan yang kurang bernasib baik di negara ini terus mendapat perhatian pelbagai pihak dalam meraih ganjaran berlipat ganda pada bulan Ramadan sekali gus mengurangkan beban dalam membuat persediaan bagi Hari Raya Aidilfitri.
Kementerian Pertahanan hari ini, tidak ketinggalan mengadakan majlis penyampaian derma kepada anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan sumbangan pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan yang berlangsung di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison.
Hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada para penerima ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Majlis juga dihadiri oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Majlis serupa juga diadakan secara serentak di cawangan-cawangan Pejabat Pentadbiran Awam (PPA) di daerah lain iaitu di Perkhemahan Tutong, Lumut dan Bangar.
Sementara itu, kelmarin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menyerahkan sumbangan secara pandu lalu kepada seramai 30 orang anak yatim warga PPDB.
Penyampaian sumbangan yang berlangsung di Foyer Mess Panaga, Daerah Belait itu disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali selaku tetamu kehormat.
Turut hadir untuk menyerahkan sumbangan ialah Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman selaku Yang Dipertua Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI).
Seramai 100 orang anak yatim di Daerah Brunei dan Muara pula diraikan dalam Majlis Membaca Doa Tahlil dan Arwah serta Penyampaian Derma kepada Anak-anak Yatim yang berlangsung di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.
Anak-anak yatim berkenaan adalah dari Kampung Kiulap, Kampung Kiarong, Kampung Beribi, Kampung Menglait, Kampung Perpindahan Mata-Mata, Kampung RPN Lambak Kanan Kawasan 2 dan 4, Kampung Jaya Setia, Kampung Jaya Bakti serta Kampung Burong Pingai Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat dan sama-sama menyempurnakan penyampaian derma ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
Seramai 25 orang ibu tunggal dan 19 orang anak yatim di Daerah Brunei dan Muara pula menerima sumbangan derma daripada Cities Square, Berakas, pada Majlis Berbuka Puasa yang berlangsung salah sebuah restoran di Berakas, kelmarin.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat selaku Ketua Kampung Subok.
Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Cities Square, Dato Lai Heng Wai dan Jun Lai.
Manakala itu, baru-baru ini, Kumpulan Muslimah Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis telah mengadakan Majlis Khatam Tadarus Al-Quran Bulan Ramadan 1444H dan penyampaian derma kepada anak-anak yatim kampung berkenaan.
Majlis yang berlangsung di Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Kampung Kulapis.