Tuesday, February 11, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumbangan terus ceriakan anak-anak yatim

    Oleh Salawati Haji Yahya, Ak Zaki Kasharan, Sim Y. H. & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

    BANDAR SERI BEGAWAN,16 APRIL – Anak-anak yatim terus mendapat perhatian pelbagai pihak di negara ini yang menghulurkan sumbangan dalam membuat persiapan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi.

    Hari ini, Pertubuhan WARGAMAS (PW) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi program Tadarus Al-Quran kali kedua dan penyampaian derma kepada anak-anak yatim ahli PW.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan derma ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri, Datin Hajah Norazimah binti Haji Ramlee.

    Majlis yang berlangsung di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu menyaksikan penyampaian derma kepada 31 orang anak yatim dan empat orang yang dikenal pasti sebagai penerima derma khas.

    Sementara itu, seramai 140 orang anak yatim daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang telah kembali ke rahmatullah menerima sumbangan dalam Majlis Sentuhan Kasih Ramadan yang berlangsung di Surau Al-Barakah, Pangkalan Tentera Udara Rimba pada 14 April lalu.

    Awang Mohammad Sofian semasa menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim yang diraikan di Dewan Kemasyarakatan Bukit Beruang, Tutong.
    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim yang berlangsung di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
    Awang Misle ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong.
    Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim dalam majlis yang berlangsung di Surau Al-Barakah, Pangkalan Tentera Udara Rimba.
    Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak semasa menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar.

    Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan isteri, Datin Ummisyafinah binti Haji Zaini.

    Sumbangan adalah hasil kutipan daripada Tabung Kebajikan ABDB dan Badan Kebajikan Isteri-Isteri ABDB (BAKTI) bagi mengongsi kegembiraan dan meringankan beban anak-anak yatim dalam membuat persiapan untuk bulan Syawal yang akan menjelang.

    Seramai 44 orang anak yatim dari Kampung Jerudong A dan Jerudong B pula telah menerima sumbangan pada majlis anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jerudong A, MPK Jerudong B, Persatuan Warisan Kedayan Jerudong (WARISAN), Koperasi Serba guna Persatuan Buhur (KSPB) dengan kerjasama Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim yang turut menyempurnakan penyampaian derma.

    Penyampaian derma juga disempurnakan oleh para dermawan terdiri daripada wakil Bellaziz Holdings (B) Sdn Bhd, Jerudong Park Country Club (JPCC), Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, pengerusi WARISAN, pengerusi KSPB dan orang perseorangan.

    Di Daerah Tutong, seramai 50 orang anak yatim diraikan pada Majlis Penyampaian Derma bagi Anak-anak Yatim dan Sumbangan Bantuan Kepada Penduduk Terpilih anjuran MPK Bukit Beruang, RPN Bukit Beruang Asal dan RPN Bukit Beruang Kawasan 1, 2, 3 dan 4, hari ini.

    Hadir bagi menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim pada majlis di Dewan Kemasyarakatan Bukit Beruang, Tutong tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.

    Antara sumbangan yang disampaikan ialah berupa kewangan dan minuman serta makanan asasi lainnya hasil daripada sumbangan peribadi perseorangan dan syarikat-syarikat.

    Sementara itu, majlis penyampaian bantuan kepada penduduk yang terpilih pada majlis tersebut turut disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Mohammad Danial @ Tekpin bin Ya’akub.

    Sebanyak 40 keluarga telah menerima sumbangan bantuan Hari Raya pada majlis berkenaan yang terdiri daripada mereka yang tersenarai di bawah Jabatan pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta dari Majlis Ugama Islam Brunei.

    Manakala itu, di Daerah Temburong, seramai 173 orang anak yatim telah menerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Derma Tabung Anak-Anak Yatim Daerah Temburong di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim selaku Penasihat Tabung Anak-Anak Yatim Daerah Temburong.

    Turut hadir ialah ahli MMN, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir; dan Pemangku Penolong Pegawai Daerah, Haji Mohamad Azmi bin Haji Suhaili selaku Pengerusi Tabung Anak-Anak Yatim Daerah Temburong.

    Sumbangan yang disampaikan adalah daripada Tabung Anak-anak Yatim Daerah Temburong, Tabung Anak-Anak Yatim, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), orang persendirian dan syarikat-syarikat swasta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda