Wednesday, September 11, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sungkai bersama kanak-kanak YASKA

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Radio Televisyen Brunei (RTB) dan Hotel Radisson Brunei Darussalam hari ini menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) bertempat di hotel berkenaan.

    Majlis berbuka puasa tersebut merupakan aktiviti tahunan di bawah projek Jalinan Kasih kelolaan Bahagian Rancangan Radio.

    Majlis dihadiri oleh Pemangku Pengarah RTB, Haji Azman bin Haji Abdul Rahim; dan Pengurus Besar Hotel Radisson, Miriam Wobler. Turut hadir ialah para penaja yang terdiri daripada Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat YMRM, Hitesh R Bhawnani dan Pengerusi Operasi Sin Guan Brothers Co, Rex Lim.

    Pada tahun ini, seramai 20 orang kanak-kanak dari YASKA telah diraikan dan dijemput hadir ke majlis berkenaan.

    Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian sumbangan kepada para kanak-kanak yang diraikan. Selain itu, kanak-kanak YASKA dan para tetamu yang hadir juga disajikan dengan pelbagai jenis makanan yang menyelerakan sebagai hidangan berbuka puasa bermula dari hidangan pembuka mulut, makanan utama dan pencuci mulut.

    “Kami sungguh berbesar hati dapat bekerjasama dengan RTB dalam projek Jalinan Kasih sekali lagi dan berpeluang untuk memberi kembali kepada masyarakat dalam bulan suci Ramadan.

    “Kami berharap dapat memberikan pengalaman yang tidak mudah dilupakan kepada kanak-kanak YASKA dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan mereka secara lebih bermakna,” jelas Pengurus Besar Hotel Radisson.

    Acara tersebut adalah untuk mendukung hasrat kerajaan ke arah mewujudkan kehidupan bermasyarakat yang penyayang dan prihatin. Penganjuran majlis adalah bertepatan dengan slogan RTB iaitu ‘Sentiasa Bersama Biskita’ yang bukan hanya terbatas kepada corong radio atau kaca televisyen.

    Pada majlis tersebut, Hotel Radisson turut memberikan sumbangan berupa baucar kepada kanak-kanak yang diraikan tersebut yang akan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan mereka.

    Majlis penyampaian sumbangan kepada kanak-kanak YASKA.
    Gambar ramai semasa majlis tersebut.
    Sebahagian daripada kanak-kanak YASKA yang diraikan di Hotel Radisson.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda