Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Suntik semangat belia jadi ejen pelancongan Islam

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Dalam usaha menyuntik semangat belia menjadi ejen pelancongan Islam di negara ini, Belia Mualaf As-Syahadah dengan kerjasama Urus Setia Program Keagamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) telah mengadakan Program Lawatan Masjid 144H/2023M, hari ini.

    Program sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 itu diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

    Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar telah merasmikan program itu yang turut dihadiri oleh Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Ia mengajak belia berani tampil menyampaikan maklumat mengenai masjid secara menarik dan tepat, memperkenalkan agama Islam dan keindahan seni bina masjid
    yang terdapat di negara ini.

    Selain itu, ia dihasratkan dapat memantapkan dakwah dan menzahirkan corak kehidupan masyarakat Islam di negara ini terutamanya kepada masyarakat bukan Islam dan memberi peluang kepada mereka yang menyertai program menghayati keindahan dan mendalami sejarah sesebuah masjid.

    Program juga memberi peluang kepada peserta merangkap jurupandu untuk beramah mesra dengan para pengunjung yang berlatar belakangkan pelbagai negara, bangsa dan
    agama.

    Selain itu, para pelancong juga boleh bertanyakan soalan kepada jurupandu dan membetulkan sebarang ketidakfahaman mengenai Islam yang mungkin timbul.

    Jurupandu bagi program tersebut terdiri daripada belia-belia di bawah Program Keagamaan Belia khususnya kumpulan Belia Mualaf As-Syahadah dan para peserta Bengkel Kesedaran melalui Program Lawatan Masjid yang lalu.

    Dr Haji Adanan dan Haji Abdul Rajid semasa program yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.
    Para belia yang menyertai program tersebut memberikan penerangan kepada pelancong yang datang ke Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...