Tuesday, March 18, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suntik semangat perpaduan ASEAN

    BELAIT, 28 JULAI – Dalam hasrat untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada penuntut-penuntut sekolah menengah di negara ini, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN bagi seramai 157 orang penuntut Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program yang diadakan di perpustakaan sekolah berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI, dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan penuntut-penuntut bagi sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

    Pada masa yang sama dalam mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya penuntut-penuntut yang merupakan bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.

    Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Pegawai Penerangan selaku Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim yang antara lain menanamkan kesedaran dan rasa milik dalam kalangan para penuntut sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN iaitu Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.

    Taklimat juga membarigakan Negara Brunei Darussalam sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini.

    Kuiz ASEAN turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran penuntut-penuntut sekolah mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana mereka mengetahui mengenai ASEAN dan peranan organisasi ini dalam membangun negara-negara anggotanya.

    Turut dipromosikan semasa taklimat berkenaan ialah aplikasi mudah alih ‘We ASEAN’ yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara ahli ASEAN, kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video.

    Aplikasi berkenaan merupakan salah satu projek di bawah SCI ASEAN-COCI dan boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android and App Store bagi pengguna iOS.

    Para pelajar Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh pegawai penerangan. – Gambar serahan Jabatan Penerangan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda