Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suntikan kedua dos AZ dipercepat – Khairy

    SEPANG, 1 JULAI – Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) bersetuju untuk mempercepatkan suntikan kedua dos vaksin AstraZeneca (AZ) daripada 12 minggu kepada sembilan minggu.

    Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata lebih satu juta penerima suntikan pertama AZ pada Mei lepas akan menerima notifikasi secepat mungkin untuk mendapatkan suntikan kedua.

    “Berdasarkan mesyuarat JKJAV minggu lepas dan sumbangan vaksin Kerajaan Jepun, kita setuju untuk kurangkan tempoh masa suntikan kedua dos vaksin AZ kepada sembilan minggu,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan ketibaan vaksin AZ sumbangan kerajaan Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, hari ini.

    Mengenai isu 700,000 warga emas yang mendaftar untuk PICK tetapi masih belum menerima suntikan vaksin, Khairy berkata isu berkenaan akan diselesaikan dalam bulan ini.

    Beliau menjelaskan isu itu timbul akibat kekurangan bekalan vaksin.

    Khairy turut memaklumkan satu kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka dikeluarkan esok atau minggu hadapan berkenaan keputusan bagi membenarkan suntikan vaksin jenis Pfizer diberikan kepada golongan remaja.

    Bercakap mengenai vaksin AZ yang diterima daripada Kerajaan Jepun, Khairy berkata sumbangan itu akan meningkatkan keupayaan PICK. – Bernama

    Duta Besar Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka (tengah) bersama Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) dan Khairy Jamaluddin menyaksikan ketibaan Vaksin Astrazeneca (AZ) sumbangan kerajaan Jepun di KLIA semalam. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda