Bintang Smallville, Tom Welling, 47, ditahan pihak berkuasa di Yreka, California kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol, pagi Isnin lalu.
Welling yang popular dengan watak Superman atau Clark Kent dalam drama bersiri superhero itu, diberkas awal pagi Isnin dan dibebaskan kira-kira jam 7 pagi dan akan menghadapi pertuduhan memandu dalam keadaan merbahaya, lapor Good Morning America.
Difahamkan, paras alkohol dalam darah Welling berada pada tahap 0.08 peratus melebihi had ditetapkan di California ketika ditahan.
Aktor yang turut dikenali menerusi lakonan dalam Judging Amy, Cheaper by the Dozen dan Lucifer dijangka dihadapkan ke mahkamah untuk tuduhan berkenaan pada 11 Mac depan.
Penahanan Welling dipercayai berlaku selepas menyambut hari lahir isterinya, Jessica susulan beberapa gambar dan ucapan romantis yang dimuat naik dalam Instagram.
“Selamat hari lahir kepada bidadari kami yang memenuhi impian dan menjadi sumber inspirasi utama kami. Kami sayang kamu.” tulisnya.
Pasangan itu berkahwin pada November 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata, Thomson, 6 dan Rocklin, 3. – Agensi