Tuesday, April 1, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suria FM terbit Suria 7, tampil Khai dan Nabila

    Stesen radio, Suria FM mengambil langkah berani menerbitkan sebuah majalah hiburan berbentuk fizikal yang turut boleh dicapai menerusi platform digital dikenali sebagai Suria 7.

    Yakin sokongan pendengar setia stesen berkenaan, Editor Suria 7 iaitu Roslen Fadzil memberitahu penerbitan majalah ini juga memiliki keunikan tersendiri meskipun kini ramai yang memilih bahan bacaan secara atas talian.

    “Saya melihat trend membaca majalah secara fizikal ini bukanlah sesuatu yang baru dan ia kembali popular meskipun dalam era teknologi sekarang ini.

    “Penerbitan ini merupakan satu langkah berani yang diambil oleh sebuah stesen radio. Kami yakin dengan penyokong stesen Suria FM dan majalah ini adalah satu perkara yang unik.

    “Melalui penjualan majalah secara fizikal, pembaca akan lebih mendalami menerusi paparan gambar dan jalan cerita,” katanya kepada mStar.

    Tambah Roslen pihaknya juga sudah merancang mengadakan pelbagai aktiviti menarik bersama pembaca untuk tempoh enam bulan pertama penerbitan bagi merancakkan lagi jualan.

    Malah pembaca juga berpeluang mendapatkan edisi khas dengan tanda tangan penyanyi Nabila Razali dan Khai Bahar pada 16 September ini sempena pelancaran Suria 7.

    “Bukan sekadar jualan majalah, malah kami sudah merancang pelbagai aktiviti bersama pembaca dalam masa terdekat.

    “Dari segi kandungan pula, kami menjanjikan isu-isu yang terkini mengikut kehendak pembaca. Bukan sekadar temu bual eksklusif, malah kami juga tampilkan gambar sesi fotografi,” jelasnya. – Agensi

    Nabila dan Khai sebagai penghias muka depan edisi pertama Suria 7. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda