NAM DINH, 23 Feb – Suspek wanita Vietnam dalam pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, terkenal kerana gaya berfesyen, rambut funki dan mempunyai teman lelaki bangsa asing.
Berikutan itu, anggota keluarga terkejut dengan hubung kait antara perkampungan miskin tanaman padi itu dengan jenayah yang kini mendapat perhatian dunia.
Nama Doan Thi Huong menjadi terkenal minggu lalu selepas polis Malaysia berkongsi imej kamera litar tertutup (CCTV) suspek berusia 28 tahun itu di lapangan terbang Kuala Lumpur, memakai baju-T bertulis ‘LOL’, sejurus selepas pembunuhan Kim Jong-nam, 13 Februari lalu.
Dia ditahan bersama seorang wanita Indonesia, kedua-duanya dituduh melakukan serangan racun ke atas Jong-nam sebelum menaiki penerbangan ke Macau.
Kaitan mustahil antara seorang gadis kampung sejauh 150 kilometer di luar Hanoi terhadap pembunuhan profil tinggi, menambah minat terhadap jenayah yang dikaitkan dengan konspirasi era Perang Dingin dan kemahiran perisikan.
Penahanan Thi Huong mencetuskan minat dalam Vietnam, walaupun cubaan pihak berkuasa keselamatan di negara komunis itu mengawal kemasukan maklumat. Keluarganya menceritakan kisah seorang gadis yang memecahkan tradisi konservatif perkampungan Quan Phuong apabila mewarna rambut, berpakaian moden dan mempunyai teman lelaki asing sejak meninggalkan keluarga pada usia 18 tahun untuk menyambung pelajaran.
“Pada mulanya kami tidak mengesyaki itu dia apabila melihat gambar seseorang memakai baju-T ‘LOL. Namun seseorang membawa gambar lebih jelas, dan kami tahu itu Huong,” kata ibu tirinya, Nguyen Thi Vy kepada AFP.
Katanya, jika anak tirinya melakukan jenayah, dia perlu bertanggungjawab. “Jika dia melakukan jenayah, dia perlu melaluinya, kami tidak boleh melakukan apa-apa… namun saya fikir dia mungkin diperangkap seseorang,” katanya. – AFP