Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suspek utama Ops Jackal tumpas

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan BKN

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Suspek utama Operasi Jackal iaitu Mohammad Mahadi bin Haji Suhaili telah berjaya diberkas oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) dalam satu operasi yang dijalankan di Kampung Lupak Luas, Mukim Lumapas, pada pagi 21 Mac lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BKN di sini, berikutan siaran akhbar yang disiarkan pada 19 Mac lalu, BKN telah menjalankan operasi untuk menjejaki suspek utama Operasi Jackal. Hasil pemantauan yang dijalankan telah berjaya menemui suspek yang sedang menyembunyikan diri.

    Semasa operasi berkenaan, suspek cuba untuk melarikan diri tetapi telah berjaya ditahan setelah dikepung oleh BKN di kawasan luar sebuah rumah di Kampung Lupak Luas, Mukim Lumapas.

    Atas perintah mahkamah, Mohammad Mahadi telah ditahan reman bagi siasatan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27.

    BKN menyatakan bahawa sehingga kini, Operasi Jackal telah menahan tujuh orang warga tempatan dan merampas 1.078 kilogram syabu dan 182.63 gram ganja.

    Dua orang yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar melebihi daripada 100 gram syabu dan jika sabit, boleh membawa hukuman gantung hingga mati.

    Di kesempatan itu, BKN ingin mengingatkan orang ramai bahawa operasi-operasi akan terus dilaksanakan bagi melindungi masyarakat dan penduduk negara ini daripada pelbagai ancaman keselamatan yang timbul daripada kegiatan jenayah termasuk jenayah dadah.

    Mohammad Mahadi ketika diberkas di sebuah rumah di Kg Lupak Luas.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda