Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Swiatek raih kemenangan ke-60

    OSTRAVA, REPUBLIK CZECH, 9 OKT – Pemain nombor satu dunia Iga Swiatek meraih kemenangan ke-60 musim ini semalam selepas menewaskan pemain Rusia, Ekaterina Alexandrova dengan tiga set untuk mara ke final WTA Ostrava.

    Juara Terbuka Perancis dan Terbuka Amerika Syarikat (AS), Swiatek menang 7-6 (7/5), 2-6, 6-4 dan menyamai rekod Caroline Wozniacki yang muncul pemain terakhir memenangi 60 perlawanan dalam satu musim pada 2017.

    Pemain Poland berusia 21 tahun itu memerlukan dua jam 38 minit untuk memberikannya kemenangan ke-10 berturut-turut dan mara ke final kelapan tahun ini.

    Swiatek memiliki rekod 10-1 pada final Jelajah WTA dengan kekalahan tunggalnya di tangan pemain Slovenia, Polona Hercog dalam kejohanan karier pertamanya di Lugano pada 2019.

    Sementara itu, Barbora Krejcikova juga memerlukan tiga set untuk mara ke final selepas menewaskan juara Wimbledon, Elena Rybakina 3-6, 7-6 (74), 6-4 dalam masa dua jam 21 minit.

    “Saya tahu final pasti sukar dan permainan Barbora agak berbeza dengan lawan saya hari ini, jadi secara taktikalnya saya perlu lebih bersedia,” kata Swiatek.

    “Tidak penting bagi saya sama ada ia adalah final atau mana-mana pusingan lain, saya hanya akan berusaha sedaya upaya.”

    Bekas juara Terbuka Perancis, Krejcikova yang meraih gelaran Tallinn hujung minggu lalu kini tidak tewas lapan perlawanan berturut-turut namun perlu bekerja keras menentang bintang Poland itu yang menang di Miami dan Rom tahun lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda