Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syamel, Ernie terpaksa hentikan perniagaan

    Hanya sempat lima bulan beroperasi, pasangan suami isteri, Syamel dan Ernie Zakri terpaksa menghentikan operasi perniagaan, Kafe Setable yang diusahakan.

    Lebih menyedihkan, Kafe Setable diserahkan kepada orang lain untuk menguruskannya. Bagaimanapun, timbul tanda tanya, bagaimana bisnes yang mendapat sambutan itu berakhir begitu sahaja.

    Adakah pandemik COVID-19 memberi kesan teruk hingga perniagaan tidak mampu bertahan atau timbul isu lain yang membuatkan mereka terpaksa berputih mata?

    Enggan terus berteka-teki, penyanyi yang popular menerusi lagu Hidup Dalam Mati dan Lebih Sempurna itu menjelaskan, ia bukanlah keputusan mudah.

    “Saya dan isteri, Ernie Zakri sangat sedih. Kami terpaksa membuat keputusan menghentikan operasi dan menjualnya kepada orang lain, selepas lima bulan beroperasi. Namun, ia dilihat sebagai jalan terbaik, suka atau tidak terpaksalah kami merelakannya.

    Syamel dan Ernie Zakri terpaksa menghentikan operasi perniagaan, Kafe Setable yang diusahakan. – Agensi

    “Namun, saya mahu menegaskan, tiada perkara sensasi di sebalik penutupan kafe ini. Apa yang boleh dikatakan antara kami dan beberapa rakan kongsi sudah tidak sehaluan lagi.

    “Apabila ia wujud, agak sukar untuk kami membuat keputusan membabitkan perkembangan perniagaan. Justeru, saya dan Ernie memutuskan untuk menamatkan operasi kafe ini. Secara kebetulan, ada pula yang berminat untuk membeli, jadi ada baiknya kami jual sahaja,” katanya kepada media.

    Mengulas tidak ralat apabila terpaksa melepaskan bisnes yang sudah diketahui peminat, Syamel berkata, seperti yang dikatakan, memang sukarnya mahu membuat keputusan ini, tetapi apakan daya?

    “Sebelum situasi menjadi lebih rumit, lebih baik kami melepaskan sahaja. Tidak dinafikan, ada yang bertanya mengenai status bisnes keropok lekor yang diusahakan, Lekos Crispy selepas penutupan kafe ini.

    “Kami masih berniaga keropok lekor dan itulah perniagaan utama saya dan isteri buat masa ini. Cuma, apa yang dirisaukan apabila masih ada yang menyangka kami masih menguruskan kafe berkenaan.

    “Di sini, saya ingin memaklumkan kepada peminat, kami sudah tiada kaitan dengan kafe berkenaan. Ia di bawah pengurusan baru. Kami juga tidak bertanggungjawab atas apa sahaja yang berlaku membabitkan kafe ini,” katanya.

    Akuinya, ujian yang dihadapi tidak pernah sesekali mematahkan semangat untuknya menceburi bidang perniagaan pada masa akan datang.

    “Sebaliknya, saya dan isteri anggap ia sebagai satu penga-laman berharga dan panduan jika kami mahu kembali menjalankan bisnes.

    “Jika berniaga lagi, kami lebih selesa menguruskan sendiri tanpa perlu ada rakan kongsi untuk mengelakkan pisang berbuah dua kali. Mengikut perancangan awal, saya dan isteri bercadang membuka cawangan Lekos Crispy di Johor Bahru.” – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda