Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Sebuah syarikat yang mengendalikan kapal di perairan Brunei telah dikeluarkan notis amaran serta denda kompaun sebanyak $700 kerana melakukan satu kesalahan di bawah S35 (1) Perintah Telekomunikasi, 2001.
Syarikat berkenaan didapati menggunakan beberapa peralatan komunikasi radio dan memiliki VSAT di atas kapal tersebut tanpa lesen yang sepatutnya, menurut Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) dalam kenyataan yang dikeluarkan.
AITI memberi amaran kepada orang ramai bahawa sistem atau perkhidmatan tidak berlesen boleh menyebabkan gangguan berbahaya kepada infrastruktur dan perkhidmatan penting, yang boleh menghalang operasi agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan tempatan, institusi pendidikan dan perniagaan yang bergantung kepada telekomunikasi.
Perniagaan dan orang awam digalakkan untuk memohon melalui portal dalam talian AITI di https://online.aiti.gov.bn untuk mendapatkan lesen yang berkaitan dengan pertubuhan, pemasangan, penyelenggaraan, penyediaan atau pengendalian mana-mana sistem atau perkhidmatan yang berkaitan dengan telekomunikasi atau radio-komunikasi.
Orang ramai juga boleh membantu usaha AITI dalam membendung sebarang aktiviti yang mencurigakan yang berkaitan telekomunikasi dengan membuat aduan melalui e-mel kepada info@aiti.gov.bn.


