WASHINGTON, 20 SEPT – Seorang syerif daerah AS didakwa dengan pertuduhan membunuh kelmarin selepas dia dipercayai menembak dan membunuh seorang hakim mahkamah daerah di negeri Kentucky, Amerika Syarikat (AS).
Syerif Letcher County, Mickey Stines telah ditangkap berkaitan dengan insiden tembakan di bangunan mahkamah Letcher County, menurut laporan akhbar Louisville Courier Journal.
Dia didakwa dengan satu pertuduhan membunuh darjah pertama, menurut CBS News.
Seorang jurucakap polis memberitahu tembakan itu berlaku selepas pertengkaran terjadi antara Stines dan hakim Kevin Mullins, 54, di pejabat hakim tersebut.
Penyiasat belum mengumumkan motif di sebalik kejadian tersebut.
Gabenor Kentucky, Andy Beshear mengesahkan insiden tembakan itu dalam satu hantaran di platform X.
“Malangnya, saya telah dimaklumkan bahawa seorang hakim daerah di Letcher County telah ditembak dan dibunuh di biliknya petang ini,” kata Beshear.
“Terlalu banyak keganasan berlaku di dunia ini, dan saya berdoa agar ada jalan menuju hari esok yang lebih baik.”
Keganasan senjata api adalah perkara biasa di AS, di mana terdapat lebih banyak senjata api berbanding dengan jumlah penduduk.
Walaupun tinjauan menunjukkan bahawa rakyat AS menyokong lebih banyak sekatan ke atas senjata, lobi hak senjata berpengaruh, perlindungan perlembagaan dan budaya pemilikan senjata yang kuat menyebabkan usaha untuk mengetatkan hak senjata sering kali berdepan tentangan politik yang sengit. – AFP