Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Synergy06, Panglima Kilat juara Cabaran STEM

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Pasukan Synergy06 dari Sekolah Menengah Tanjong Maya muncul juara keseluruhan Kategori Junior manakala Pasukan Panglima Kilat dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) muncul sebagai juara Kategori Senior dalam Cabaran STEM dan Inovasi Reka Bentuk Peringkat Kebangsaan ke-5, 2022-2023 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, UTB, hari ini.

    Hadir pada majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendi-dikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

    Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan di Kementerian Pendidikan, naib canselor, ketua-ketua kluster, para pemimpin sekolah dan guru-guru fokal serta pelajar-pelajar yang menyertai cabaran berkenaan.

    Ketua Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Hajah Suriani binti Haji Noor Hashim dalam kata alu-aluannya menyatakan matlamat pertama Wawasan Brunei 2035 ialah rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya.

    Oleh itu, bagi memastikan kejayaan yang holistik, adalah perlu bagi kita sama-sama menumpukan kepada memastikan pelajar-pelajar dilengkapi dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran abad ke-21.

    Pasukan Penglima Kilat dari UTB menerima hadiah daripada tetamu kehormat.
    Tetamu kehormat bergambar ramai bersama pasukan-pasukan yang menyertai cabaran tersebut.
    Tetamu kehormat menyampaikan hadiah pemenang Best Mentor bagi kategori senior.

    Dengan adanya Cabaran STEM dan Inovasi Reka Bentuk Peringkat Kebangsaan, jelasnya, ia dapat menghimpunkan para pelajar untuk bersaing dengan menggunakan kemahiran abad ke-21 dalam versi akademik Formula 1 (F1).

    Hajah Suriani berkata, “Dengan memanfaatkan proses reka bentuk dan seni kreatif yang mereplikasikan kereta F1 sebenar, pelajar dicabar untuk menghasilkan kereta mini F1 melalui penggunaan perisian seperti Autodesk Inventors (Computer Aided Design) dan hardware seperti mesin-mesin Denford (Computer Aided Manufacturing)”.

    Beliau juga menyatakan harapan Pusat STEP supaya penyertaan peserta dari sekolah-sekolah akan terus meningkat pada masa akan datang kerana program itu dipercayai dapat menanam minat para pelajar untuk mencurahkan idea-idea bernas daripada aspek rekaan dan teknologi iaitu melukis, mereka bentuk kereta, pembuatan kereta, analisis serta menghasilkan kereta mini F1 yang berkualiti.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disempurnakan oleh Awang Aliuddin.

    Bagi kategori Formula One Junior Class, tempat kedua dimenangi oleh Pasukan Turbo dari Sekolah Menengah (SM) Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar dan tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan Propulsion dari SM Sayyidina Ali.

    Dalam kategori junior berkenaan, Pasukan Synergy06 juga memenangi hadiah bagi Best Verbal Presentation dan Best Engineered Car, Pasukan Turbo telah memenangi hadiah bagi Best Design Car dan Fastest Car Award, Pasukan Propulsion memenangi hadiah bagi Best Analysis serta Pasukan Speed Galaxy dari SM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah telah memenangi hadiah bagi Best Reaction Time.

    Manakala itu, bagi kategori Formula One Senior Class, tempat kedua dimenangi oleh Pasukan Kaminari dari UTB dan tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan MaxVelocity dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Mekanikal.

    Dalam kategori itu, Pasukan Panglima Kilat juga telah memenangi hadiah bagi Best Engineered Car, Best Analysis dan Best Verbal Presentation manakala itu, Pasukan Kaminari pula memenangi hadiah bagi Best Design Car, Fastest Car Award dan Best Reaction Time.

    Cabaran itu adalah pertandingan tahunan kebangsaan yang disertai oleh sebanyak 23 buah pasukan dari 13 sekolah menengah, dua pusat tingkatan enam dan dua institusi pengajian tinggi yang dibahagikan kepada dua kategori. Peserta juga dibekalkan dengan peralatan mesin DENFORD bagi pembuatan replika kereta mini F1.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...