Tuesday, January 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sze Fei-Nur Izzuddin disaran lebih selektif pilih kejohanan

    KUALA LUMPUR, 20 JAN – Beregu nombor satu Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, disaran supaya hanya mengambil bahagian dalam kejohanan peringkat tertinggi yang berstatus sekurang-kurangnya Super 750.

    Legenda badminton Malaysia, Datuk Razif Sidek berkata gandingan profesional itu sudah berada pada tahap yang baik sehingga muncul wakil pertama Malaysia meraih gelaran musim ini menerusi kejayaan pada Terbuka India 2025 (Super 750) di New Delhi, semalam.

    “Sze Fei-Nur Izzuddin punya tahap sepatutnya beraksi pada Super 750 dan lebih tinggi sahaja. Saya lihat semakin tinggi tahap kejohanan, prestasi mereka semakin baik.

    “Mereka mesti memilih kejohanan untuk disertai secara teliti bagi mengekalkan prestasi dan kita harap gandingan itu akan berjaya,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Pada aksi final di Kompleks Sukan Indira Gandhi, Sze Fei-Nur Izzuddin menumpaskan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 21-15, 13-21, 21-16.

    Nur Izzuddin (kanan), dan Sze Fei bertanding semasa perlawanan separuh akhir di New Delhi pada 18 Januari. – AFP

    Pencapaian itu juga menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin menamatkan kemarau 15 tahun Malaysia tanpa sebarang kejuaraan beregu lelaki di Terbuka India selepas kemenangan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada edisi 2010.

    Razif berkata tindakan lebih selektif dalam memilih kejohanan untuk disertai termasuk mengehadkan kepada dua penampilan setiap bulan penting buat pasangan nombor dua dunia itu demi menyimpan tenaga dan mengelak daripada risiko kecederaan.

    “Prestasi pemain bukannya boleh berterusan sehingga tiga atau empat kejohanan (sebulan). Sebagai manusia, kita hanya boleh main satu hingga dua, kemudian kena rehat seketika.

    “Tiga atau empat kejohanan bukan tak boleh tetapi lebih sesuai bagi pemain di peringkat pembangunan.

    “Memandangkan mereka sudah capai tahap tertinggi, Sze Fei-Nur Izzuddin kena lebih selektif, dengan itu mereka dapat pulih dan berada dalam keadaan terbaik,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda