KUALA LUMPUR, 6 JAN – Pemain beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia mengakui bahawa Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani layak menjadi pasangan utama Malaysia ketika ini.
Aaron, yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik, mengakui Sze Fei-Nur Izzuddin membuktikan keunggulan mereka selepas mencatatkan prestasi cemerlang sepanjang musim tahun lepas.
“Tidak kisah nombor satu atau dua, kami semua mewakili Malaysia juga. Prestasi (Sze Fei-Nur Izzuddin) pun amat baik kebelakangan ini dan mereka memang layak (menduduki kedudukan beregu lelaki nombor satu negara),” katanya kepada pemberita semasa sesi ujian gelanggang Terbuka Malaysia 2025, hari ini.
Bulan lepas, Sze Fei-Nur Izzuddin muncul sebagai beregu utama negara apabila mereka melonjak ke tempat ketiga daripada tangga ketujuh dalam ranking dunia manakala Aaron-Wooi Yik jatuh satu anak tangga ke kedudukan keenam.
Ini merupakan kali pertama Aaron-Wooi Yik berada di kedudukan kedua dalam beregu lelaki negara sejak pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik dua kali itu menjadi pasangan utama negara pada 2019. – Bernama