Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Tabiat ‘ganjil’ P Ramlee, duduk berjam-jam dalam bilik mandi cari ilham

    Biduanita Malaysia, Allahyarham Puan Sri Saloma dalam satu sesi temu bual yang pernah disiarkan, menyifatkan suaminya yang juga Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee adalah individu ‘ganjil’ dan memiliki tabiat unik ketika berkarya.

    Saloma atau nama sebenarnya, Salmah Ismail pada ketika itu berkongsi suaminya akan menghabiskan masa selama berjam-jam dalam bilik mandi untuk mendapatkan ilham ketika proses pembikinan lagu atau skrip filem sehingga membuatkan dirinya risau.

    “Dia (P Ramlee) kalau hendak bikin lagu tak kira masa siang, malam, pagi dan petang.

    Kadang-kadang dekat bilik mandi duduk berjam-jam sambil berfikir sampaikan saya pun naik takut dan tertanya apa yang dia fikir sebenarnya.

    “Mula-mula dulu saya pelik. Baru-baru kahwin tak reti (tak faham), tapi lama-lama baru faham dia karang lagu atau buat skrip. Jadi, saya terpaksa pergi ke bilik mandi lain.

    “Bilik mandi digunakan khas untuknya sahaja. Nanti dia yang cuci bilik mandi itu dan kasi (hias) cantik-cantik. Itu sahaja yang dia sayang sebab banyak ilham dapat daripada situ,” kata Saloma yang menjawab soalan diajukan wartawan pada sesi temu bual berkenaan, memetik laporan BH Online.

    Menerusi klip video temu bual yang kembali tular dalam media sosial itu, Saloma memberitahu dia tidak akan bercakap dengan suaminya termasuk membuat sebarang perkara yang boleh mengganggunya ketika sedang berkarya.

    “Bila hendak bikin lagu, dia akan duduk dekat piano. Jadi, kita (saya dan anak-anak) tak boleh buka radio atau televisyen. Masing-masing buat hal sendiri dan saya akan menjahit dan macam-macam lagi.

    “Kalau tiga hari macam itu, tiga harilah saya tak bercakap dengan dia kecuali ada keperluan macam hendak makan, minum atau lain-lain barulah kami akan bercakap.

    “Saya sudah mengerti dengan P Ramlee punya cara, dia ini benar-benar ‘ganjil’. Saya belum pernah jumpa orang macam dia,” katanya. – Agensi

    Saloma tidak akan bercakap berhari-hari atau mengganggu P Ramlee ketika sedang berkarya. – TheStar
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...