Monday, October 21, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tabung dana bagi pembinaan masjid kutip lebih $20 juta

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam telah mengutip sebanyak $20,486,868.70 dari 2015 hingga November 2022.

    Daripada jumlah berkenaan, $18,228,844.04 adalah kutipan yang terkumpul sejak ditubuhkan pada 2015 hingga 31 September 2021, manakala kutipan yang terkumpul sumbangan penjawat awam sehingga 30 November 2022 adalah sebanyak $2,258,024.66.

    Perkara berkenaan dikongsi oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa temu bual media, baru-baru ini, di kementerian berkenaan.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, dengan peruntukan tabung berkenaan, dua buah masjid telah siap dibina di Daerah Brunei dan Muara serta Tutong iaitu Masjid Ar Rahman dan Masjid Ar Rahim yang masing-masing terletak di Tanjong Bunut dan Kampung Bukit Panggal.

    Manakala itu, sebuah lagi masjid masih dalam pembinaan iaitu masjid Kampung Junjongan dan ia diharap akan dapat digunakan pada bulan Ramadan nanti.

    Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam telah mengutip sebanyak $20,486,868.70 dari 2015 hingga November 2022. – Gambar fail

    Beliau turut mengongsikan, dua buah masjid lagi dalam perancangan akan dibina Daerah Tutong, di mana hanya menanti untuk mendapatkan kelulusan reka bentuk dan kelulusan daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menambah, kutipan berkenaan telah pun digunakan untuk pembangunan masjid.

    Kutipan yang diterima itu bukan saja dari tabung-tabung masjid malah ada juga penderma menghantar ke Bahagian Hal Ehwal Masjid dan MUIB sementara untuk penjawat awam pula sumbangan dilakukan melalui potongan gaji bulanan.

    “Kos pembinaan masjid sebelum ini dan sekarang meningkat yang mana dulu kos bagi pembinaan masjid boleh mencecah $2.5 juta berbanding sekarang ia meningkat kepada $3 juta dan ini disebabkan oleh kos barang pembinaan.”

    Kos untuk pembinaan masjid Kampung Junjongan, jelasnya, hampir mencecah $5 juta dan ini disebabkan keadaan tapak tanah berpaya ia memerlukan kos pembinaan bertambah.

    “Tabung ini berjaya seperti yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, untuk mengajak orang ramai bertanam saham di akhirat sementara kerajaan akan tetap menanggung pembinaan masjid.

    “Orang ramai boleh yakin bahawa hasrat mereka untuk melabur di akhirat melalui sumbangan untuk pembinaan masjid di negara ini, insya-Allah terjamin,” tambahnya.

    Semasa temu bual itu, beliau turut mengongsikan beberapa perkara yang berkaitan dengan pencapaian pendidikan sekolah agama dan sekolah Arab selain keagamaan dan lainnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda