Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Puasa itu selain menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan seumpamanya, ibadah itu juga berperanan menahan diri daripada melakukan perkara buruk dan sia-sia.
“Ini kerana kita tidak mahu ibadah puasa yang dikerjakan itu hanya sekadar mendapat lapar dan dahaga semata-mata,” tambah khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Menjaga Diri daripada Melakukan Perkara-perkara Mazmumah dan Sia-sia’.
Beliau seterusnya menegaskan yang ibadah puasa bukan hanya sekadar mengawal kehendak nafsu syahwat semata-mata, tapi Allah memerintahkan supaya menjaga anggota badan daripada melakukan perkara yang tidak baik atau mazmumah dan sia-sia.
“Ini kerana dengan melakukan perkara yang tidak baik dan berdosa itu boleh merosakkan dan mengurangkan pahala ibadah puasa,” tegasnya lagi.
Puasa itu, katanya, adalah ibadah yang sangat istimewa di mana ia merupakan perisai daripada azab api neraka, puasa juga merupakan benteng daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar.
Menurut khatib lagi, bulan Ramadan adalah bulan yang sentiasa di tunggu-tunggu dan dirindukan oleh sekalian umat Islam di mana bulan ini mempunyai kelebihan yang sangat besar berbanding bulan lain.
Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sangat gembira menerima kedatangan bulan Ramadan ini kerana kedatangannya membawa berita gembira untuk umat Nabi Muhammad SAW.
“Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat sentiasa merebut peluang dan manfaat beramal ibadah pada bulan Ramadan ini terutama ibadah puasa penuh dengan keimanan dan ketakwaan semata-mata untuk memperoleh ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah,” katanya.
Ke arah meraih kesempurnaan ibadah puasa, jelasnya, terdapat adab yang perlu dijaga semasa menjalani ibadah puasa, iaitu dengan mengawal dan menutup pandangan mata dari melihat perkara yang diharamkan oleh syarak dan melihat perkara yang boleh melalaikan hati daripada mengingati Allah.
Selain itu, menutup telinga daripada mendengar perkara yang diharamkan supaya tidak tergolong dalam golongan orang yang suka mendengar berita bohong dan sia-sia juga merupakan adab berpuasa yang perlu dijaga.
Di samping itu, kita juga dituntut untuk menjaga lidah dari berkata-kata yang tidak berfaedah seperti berbual kosong, lebih-lebih lagi mengeluarkan kata-kata yang diharamkan seperti mengumpat, berdusta, menyebarkan fitnah dan sebagainya selain memelihara seluruh anggota yang lain seperti tangan, kaki dan sebagainya daripada melakukan perkara haram dan tidak berfaedah.
Katanya lagi, “Ibadah puasa bulan Ramadan merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima dan wajib ditunaikan dan sebagai umat Islam hendaklah sentiasa menjaga dan memelihara kesempurnaannya dengan sentiasa menjaga diri dan menghindarkan diri daripada melakukan perkara mazmumah dan sia-sia.
“Mudah-mudahan ibadah puasa yang dikerjakan sepanjang bulan Ramadan ini diterima dan mendapat ganjaran dari Allah dan semoga tidak tergolong dalam golongan orang yang berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga saja,” tambahnya.