Wednesday, January 8, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taiwan pergiat usaha takai iguana pada 2025

    TAIPEI, 6 JAN – Taiwan merancang untuk menakai sebanyak 120,000 iguana hijau pada 2025 dalam usaha menangani impak spesies itu terhadap petani tempatan, menurut Kementerian Pertanian (MOA) kelmarin.

    Dalam wawancara bersama agensi berita pusat (CNA), Ketua Seksyen Agensi Perhutanan dan Pemuliharaan Alam Semula Jadi kementerian itu, Chiu Kuo-hao, berkata iguana hijau kini direkodkan di seluruh Taiwan selatan dan sejauh utara Taichung.

    Walaupun tiada statistik rasmi mengenai populasi keseluruhan spesies itu di negara ini, anggaran menunjukkan jumlahnya sekitar 200,000 ekor, katanya.

    Chiu berkata pada 2024, lebih 70,000 iguana telah ditakai, termasuk kira-kira 45,000 ekor di Daerah Pingtung, 12,000 di Tainan, 9,900 di Chiayi, 6,500 di Kaohsiung, 5,000 di Changhua dan sekitar 100 di beberapa bandar dan daerah lain.

    Dengan peruntukan dana NT$20 juta (AS$607,027) daripada kerajaan pada tahun ini, MOA menetapkan sasaran menakai 120,000 ekor, katanya.

    Berdasarkan pengalaman sebelumnya menakai spesies burung ibis Afrika, kementerian bergantung kepada pasukan pemburu profesional untuk menakai iguana hijau, yang telah bertapak di sembilan bandar dan daerah.

    Menurut Chiu, sekitar 300 individu telah direkrut untuk pasukan tersebut melalui pengambilan di Tainan, Kaohsiung dan Pingtung akhir tahun lepas, sementara pengambilan tambahan akan diadakan di Chiayi dan Pingtung dalam beberapa minggu akan datang. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda