Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Bagi memberigakan Jambori Pengakap Sedunia ke-25, Korea Selatan yang bakal berlangsung tahun depan, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah mengadakan taklimat mengenainya di Dewan Serbaguna, PPNBD, hari ini.
Turut dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga peserta yang akan menyertai jambori tersebut, taklimat menyentuh mengenai perkembangan jambori pengakap berkenaan dan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan.
Taklimat telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Antarabangsa, Haji Abdul Manan bin Haji Abdul Latif dan Pesuruhjaya Sumber Dewasa, Haji Awang Hassan bin Haji Abdul Hamid yang juga selaku ketua Kontinjen PPNBD ke jambori pengakap di Korea Selatan berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, PPNBD akan menghantar seramai 18 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Pengakap Muda dan Pengakap Remaja dengan dibantu oleh beberapa ahli-ahli Pengakap Dewasa ke acara jambori pengakap tersebut.
Di akhir taklimat, sesi soal jawab juga dilaksanakan bersama ibu bapa dan penjaga para peserta.
Jambori Pengakap Sedunia yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) itu merupakan perkhemahan belia terbesar di dunia dengan edisi ke-25 dihoskan oleh Persatuan Pengakap Korea.
Jambori dunia berkenaan diadakan setiap empat tahun dan lebih 50,000 peserta yang terdiri daripada belia-belia berumur 12 hingga 17 tahun dan pemimpin-pemimpin pengakap dari 170 buah negara dijangka akan berkongsi kebudayaan negara masing-masing dan pengalaman kepengakapan semasa jambori berkenaan.
Pada tahun depan, ia akan diadakan di Saemangeum, Buangun, Jeollabukdo, Korea Selatan dengan tema Draw Your Dream pada 1 hingga 12 Ogos 2023.
Pelbagai kegiatan telah dirancang antaranya ialah aktiviti-aktiviti lasak, Program Matlamat Pembangunan Mapan, penggunaan teknologi hijau dan teknologi terkini dan perkongsian budaya antara negara.
