Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Jabatan Penerangan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Dengan hasrat untuk menyemai rasa cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik telah mengadakan Program Taklimat Kenegaraan, Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam untuk Sekolah St.Margaret, kelmarin.
Seramai 70 orang penuntut Tahun 7 menghadiri taklimat berkenaan yang berlangsung di dewan serbaguna sekolah, di mana ia turut dihadiri oleh Pengetua, Liew Yong Kim serta tenaga pengajaran sekolah berkenaan.
Taklimat Kenegaraan disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Jabatan Penerangan, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris yang menyentuh mengenai raja, tatacara menaik-kibarkan bendera negara iaitu memastikan bendera negara dalam keadaan sempurna, bersih, tidak koyak dan pudar warnanya serta sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan.
Para penuntut juga berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan dan menerima hadiah-hadiah sumbangan Jabatan Penerangan.
Program taklimat berkenaan juga dihasratkan dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri para penuntut.




