Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Seramai 509 orang bakal pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) berserta ibu bapa dan penjaga mereka telah menghadiri Sesi Taklimat Pra-Latihan yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.
Ia bertujuan untuk memberikan penjelasan terhadap latihan-latihan dan aktiviti yang akan dijalankan oleh para pelatih selama tiga bulan program berkenaan.
Semasa taklimat itu, para bakal pelatih yang terdiri daripada 363 orang lelaki dan 146 orang perempuan diterangkan tentang barang keperluan yang perlu dibawa oleh ke Kem Latihan PKBN Batu Apoi, Daerah Temburong, serta kemudahan-kemudahan yang akan disediakan sepanjang latihan yang disampaikan oleh Komandan Kem PKBN, Mejar (B) Mohammad bin Dollah.
Sesi seterusnya adalah taklimat perjanjian ibu bapa atau penjaga yang menerangkan mengenai peraturan-peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi oleh setiap pelatih semasa menjalani latihan.
Taklimat tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab untuk memberikan peluang kepada ibu bapa dan penjaga mengemukakan sebarang pertanyaan lanjut.
