Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Dalam usaha berterusan untuk menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik terus giat menjalankan Program Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Pada 29 Januari, jabatan berkenaan telah mengadakan program tersebut di Sekolah Menengah Berakas (SMB) yang dihadiri oleh seramai 113 orang penuntut Tahun 7.
Turut hadir ialah Pengetua SMB, Awang Alexandar bin Bandang dan tenaga pengajar sekolah tersebut.
Sementara itu, pada 23 Januari, program serupa telah diadakan bagi Sekolah Menengah Sayyidina Hasan (SMSH), yang dihadiri seramai 199 orang penuntut Tahun 7.
Turut hadir ialah Pengetua Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Awang Moss bin Mat Juni dan tenaga pengajar sekolah.
Taklimat-taklimat antara lain menyentuh mengenai raja, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam Allah Peliharakan Sultan.
Para penuntut juga menyaksikan klip video animasi Tatacara Menaikkan Bendera Negara dan Semarak Pengibaran Bendera.
Selain itu, para penuntut juga berpeluang menyertai kuiz kenegaraan dan menerima hadiah-hadiah sumbangan Jabatan Penerangan.