Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Atas dasar keprihatinan dan semangat kerjasama antara agensi swasta dan kerajaan untuk meningkatkan akses perkhidmatan sosial kepada golongan yang terdedah di negara ini, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Telekom Brunei Berhad (TelBru) telah merasmikan Talian ANAK 121, hari ini.
Perasmian talian berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Dewan Digadong, KKBS.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku pengerusi TelBru, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, pemangku pengarah JAPEM, pengarah-pengarah dan wakil syarikat rakan strategik TelBru, ahli-ahli Jawatankuasa Khas Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak serta pegawai-pegawai kerajaan.
Ketua pegawai eksekutif TelBru dalam ucapannya menjelaskan, sejak awal tahun ini, TelBru telah memberikan fokus baharu dalam projek tanggungjawab sosial korporatnya dengan memberi tumpuan kepada golongan yang kurang bernasib baik, yang memerlukan bantuan dan yang mungkin terdedah kepada bahaya.
Talian ANAK 121, tambah beliau, merupakan salah satu inisiatif di bawah fokus baharu tersebut selain menghulurkan bantuan kepada beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan seperti SMARTER Brunei, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), Pusat Ehsan dan sebagainya.
Awang Ahmad Jefri berkata, bagi menyediakan Talian ANAK 121, TelBru melalui anak syarikatnya, Comquest Sdn Bhd, berkongsi pengalaman dan kepakarannya dalam menubuhkan pusat-pusat panggilan pengguna di negara ini dengan menyediakan satu sistem bagi pusat panggilan khas bagi kanak-kanak untuk membolehkan orang ramai menghubungi kaunselor terlatih sama ada bagi meminta pertolongan atau melaporkan kes-kes seperti penderaan, pengabaian dan eksploitasi yang melibatkan kanak-kanak.
Apabila beroperasi sepenuhnya nanti, sistem pusat panggilan berkenaan akan berupaya menyediakan kaedah laporan secara terperinci mengenai aduan-aduan yang diterima, sistem pemantauan secara sistematik dan akan menyediakan pautan bagi mengkoordinasi tindakan segera atau tindakan susulan yang melibatkan agensi-agensi berkenaan secara lebih berkesan.
Di samping itu, pada Julai lalu, TelBru telah bekerjasama dengan pihak JAPEM bagi menyediakan latihan asas kaunseling yang melibatkan kepakaran daripada Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah di Universiti Brunei Darussalam.
