WASHINGTON, 26 APRIL – Pasukan tentera kerajaan Taliban berjaya membunuh dalang serangan nekad di lapangan terbang Kabul semasa pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan pada 2021, menurut kenyataan Rumah Putih kelmarin.
Penyerang itu meletupkan peranti semasa orang ramai bersesak-sesak di kawasan lapangan terbang ketika mereka cuba melarikan diri dari Afghanistan pada 26 Ogos 2021. Letupan itu membunuh kira-kira 170 orang dan 13 anggota tentera AS yang mengawal lapangan terbang.
Ia merupakan salah satu pengeboman paling berdarah di Afghanistan dan menyebabkan banyak kritikan ke atas Presiden Joe Biden atas keputusannya untuk mengundurkan tentera AS dari negara itu selepas hampir 20 tahun pencerobohan AS.
Ketua Kumpulan IS yang merancang serangan tersebut telah dibunuh oleh pihak berkuasa Taliban, menurut jurucakap keselamatan negara Rumah Putih, John Kirkby dalam satu kenyataan.
“Dia merupakan pegawai penting ISIS-K yang terlibat secara langsung dalam merancang operasi seperti di Abbey Gate, dan dia kini tidak lagi akan dapat merancang atau melancarkan serangan,” kata Kirkby, merujuk kepada kawasan di luar lapangan terbang di mana serangan berlaku.
ISIS-K merujuk kepada Islamic State Khorasan, rangkaian kumpulan yang beroperasi di Afghanistan dan Pakistan.
“Dia terbunuh dalam sebuah operasi Taliban,” tambah Kirkby tanpa memberikan sebarang butiran.
Pegawai kerajaan Taliban setakat ini tidak memberikan sebarang respons kepada AFP.
Pengunduran, yang berakhir pada 30 Ogos 2021, menyaksikan pejuang Taliban menyingkirkan pasukan Afghanistan yang dilatih oleh Barat dalam tempoh beberapa minggu, memaksa tentera AS untuk segera meninggalkan negara itu melalui lapangan terbang Kabul. – AFP
