Friday, January 31, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tambah baik sistem saliran, dalamkan sungai cegah banjir

    BINTULU, 30 JAN – Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan banjir buruk yang menjejaskan beberapa kawasan di sekitar Bintulu disebabkan kelemahan sistem saliran serta kegagalan melaksanakan projek pendalaman dan pelebaran Sungai Sibiew.

    Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata masalah itu menghalang air lebihan susulan hujan lebat selama tiga hari dua malam daripada disalirkan dengan cekap, sekali gus menyebabkan paras sungai meningkat dengan cepat.

    Beliau berkata kawasan terjejas teruk ialah sekitar Sungai Sibiew, yang disebabkan kesan daripada kelewatan melaksanakan projek mendalam dan melebarkan dasar sungai terbabit.

    “Projek pendalaman dan pelebaran Sungai Sibiew kekal sebagai cadangan selama hampir lima tahun tanpa ada sebarang kemajuan. Banjir yang memusnahkan ini seharusnya menjadi amaran yang mendesak dan agensi yang berkaitan perlu memikul tanggungjawab.

    “Saya telah menegaskan berulang kali bahawa sungai ini perlu didalamkan sekurang-kurangnya tiga hingga lima meter dan dilebarkan hingga 100 meter untuk menampung peningkatan hujan akibat perubahan iklim.

    “Hanya dengan cara ini kita dapat mencegah bencana seumpama ini daripada berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda