MADRID, 11 NOV — Sepanyol hari ini mengumumkan pakej bantuan baharu bernilai AS$4 bilion (3.76 bilion euro) bagi membantu rakyat yang terjejas akibat banjir terburuk negara itu dalam beberapa dekad, yang telah mengorbankan 222 nyawa.
Ribut Mediterranean luar biasa yang melanda Sepanyol dua minggu lalu menimbulkan kemusnahan besar di wilayah Valencia, kawasan yang paling terjejas dengan jumlah kematian dan kerosakan tertinggi.
Air berlumpur yang deras merosakkan jalan raya dan landasan kereta api, menghanyutkan beberapa buah kenderaan, memusnahkan kedai dan menenggelamkan kawasan pertanian, dengan kos akhir dijangka mencecah puluhan bilion dolar.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengumumkan pakej bantuan kedua bernilai AS$4 bilion bagi memperkukuh bantuan awal berjumlah €10.6 bilion yang diumumkan minggu lalu.
Sanchez turut menyatakan bahawa proses pampasan akan dipermudahkan dan diperluas bagi meliputi lebih ramai penduduk serta harta benda, sementara petani akan menerima bantuan tambahan sebanyak €200 juta.
Beliau membandingkan langkah itu dengan campur tangan kerajaan semasa krisis COVID-19, sambil menegaskan bahawa kerajaan di negara itu akan menyediakan semua sumber yang diperlukan dan selama mana yang diperlukan.
Bantuan yang diumumkan minggu lalu merangkumi sokongan untuk perniagaan kecil dan sederhana, pekerja sendiri, serta keluarga yang mengalami kehilangan nyawa, kecacatan atau kerosakan pada rumah dan harta benda.
Kerajaan Sepanyol turut mengumumkan pelepasan cukai, penangguhan bayaran balik pinjaman dan gadai janji selama tiga bulan, serta peruntukan untuk kerja-kerja pembersihan besar-besaran yang dikendalikan oleh majlis tempatan.
Ribuan anggota tentera, polis, pengawal awam dan perkhidmatan kecemasan kini terlibat dalam kerja-kerja membaiki infrastruktur yang musnah, menyalurkan bantuan dan mencari puluhan mangsa yang masih hilang. – AFP