Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tanah runtuh ragut 2 jiwa, 20 lagi hilang

    ATAMI, JEPUN, 4 JULAI – Para penyelamat yang mencari mangsa-mangsa tanah runtuh di bandar percutian Jepun terpaksa menangguhkan operasi mereka beberapa kali hari ini ketika hujan lebat membadai kawasan tersebut.

    Dua wanita disahkan meninggal dunia selepas arus lumpur membadai ke bahagian pusat peranginan mata air panas Atami di tengah Jepun pada pagi kelmarin, disusuli hujan lebat beberapa hari.

    Seramai 19 orang telah diselamatkan dan sekitar 20 lagi masih hilang, kata jurucakap pengurusan bencana, Yuta Hara kepada AFP.

    “Kami melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan mangsa-mangsa sambil memeriksa keadaan cuaca dan lainnya,” katanya.
    Hara berkata sekitar 130 buah rumah dan bangunan lain telah musnah ketika tanah runtuh melanda ke kawasan kediaman, mencetuskan lumpur jerlus yang terbentang hingga ke pantai berhampiran.

    Kenderaan-kenderaan terkubur manakala binaan-binaan musnah teruk.

    Kereta yang dihanyutkan oleh tanah lumpur berikutan hujan lebat beberapa hari di kawasan Izusan, Atami wilayah Shizuoka pada 4 Julai. – AFP

    Hara berkata keluasan tanah runtuh itu berlaku kira-kira satu kilometer dan 120 meter lebarnya.

    Ratusan pekerja penyelamat dan kakitangan tentera sedang mencari di sebalik lumpur dan selut menggunakan pengorek sambil memanjat di bumbung-bumbung yang merekah dan mencucuk-cucuk tiang di tanah untuk memeriksa jika adanya mayat.

    Rakaman televisyen menunjukkan para pengawal pantai menyelam mencari di kawasan berlumpur, sementara pegawai polis mencari di sebalik rumah-rumah musnah menggunakan anjing penghidu.

    Bagaimanapun hujan telah menghambat operasi menyelamat dengan para pekerja terpaksa meninggalkan kawasan itu beberapa kali ketika tanah runtuh kecil berlaku sehingga amaran bencana dikeluarkan.

    Mangsa terselamat di pusat pemindahan berhampiran memberitahu AFP tentang kepanikan mereka apabila tanah runtuh berlaku.

    “Apabila saya membuka pintu, semua orang bergegas lari ke jalan-jalan dan anggota polis datang kepada saya dan berkata:

    “Apa kamu buat di sini, cepat-cepat semua orang berpindah!” kata penduduk tempatan, Kazuyo Yamada memberitahu AFP.

    “Jadi saya dengan cepat keluar meredah hujan tanpa sempat bertukar pakaian dan hanya membawa beg.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda